24.7 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Pas lakukan perubahan jawatan kerana Ahmad uzur

Mesti Baca

KEPUTUSAN Pas mahu melakukan perubahan jawatan menteri besar di Kelantan disebabkan Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob kini uzur.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang  berkata, berikutan itu Ahmad meminta untuk mengundurkan diri daripada memegang jawatannya atas faktor kesihatan, sekiranya Pas berjaya mengekalkan pentadbiran di negeri berkenaan pada pilihan raya negeri (PRN), kali ini.

Katanya, selain keputusan mengubah jawatan Timbalan Menteri Besar Kelantan, beliau juga mahu lakukan perubahan di Kelantan.

“Menteri Besar minta undur diri kerana uzur. Sejak dulu dia sudah merayu supaya lantik orang lain, tetapi kita minta teruskan lagi.

“Ketika masih bertugas juga dia desak untuk minta ganti dan memang dia keuzuran.

“Beberapa kali dia masuk hospital terima rawatan dan kali ini kita pertimbangkanlah, kesian kepada beliau.

“Kita mahu semangat baharu di Kelantan. Ada perubahan di Kelantan sebab itulah timbalan juga akan diubah,” katanya kepada pemberita selepas selesai membuang undi di Sekolah Kebangsaan Rusila, Marang, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan timbalannya, Datuk Mohd Amar Abdullah bakal digantikan dengan kepimpinan baharu sekiranya Pas berjaya mengekalkan pentadbiran di negeri itu pada PRN.

Advertisements

Sebelum ini, Ahmad yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan pada PRN kali ini memaklumkan pencalonannya itu memasuki penggal ketujuh dan adalah yang terakhir.

Ahmad turut memaklumkan akan memberi laluan kepada calon muda selepas ini.

Dalam pada  itu, Mohd Amar turut mempertahankan kerusi DUN Panchor.

Abdul Hadi turut menafikan pertukaran kepimpinan disebabkan desakan atau isu-isu yang berlaku di Kelantan, baru-baru ini.

“Tak adalah. Memang sudah lama sangat kita memerintah. 30 tahun, letih juga orang yang bertugas, ” katanya.

Hadi turut memaklumkan, dua calon baharu yang menjadi Menteri Besar dan Timbalannya nanti diharap akan diterima oleh semua pihak termasuk rakyat Kelantan.

“Selepas rakyat membuat keputusan, kita sudah ada calon yang kita akan kemukakan pada Tuanku Sultan Kelantan. Perbincangan dengan Tuanku akan berlaku.

“Insya-Allah semoga diterima rakyat dan diterima juga oleh Tuanku,” katanya lagi. – Edisi  9

Advertisements

Terkini

Kerajaan Pusat lulus peruntukan RM1.59 bilion untuk Terengganu

KERAJAAN Persekutuan meluluskan peruntukan RM1.59 bilion di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi manfaat rakyat...

Lagi Artikel Berkaitan