PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk menambah baik Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) dengan meningkatkan kadar subsidi daripada RM360 per metrik tan kepada RM500 per metrik tan berkuatkuasa esok.
Beliau berkata, dengan langkah ini, pesawah akan menerima sekurang-kurangnya RM1,700 per metrik tan.
“Secara langsung juga akan meningkatkan pendapatan pesawah serta memberi motivasi kepada pesawah untuk meningkatkan pengeluaran,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sentuhan Agro MADANI peringkat Negeri Perak di Parit Buntar pagi tadi.
Dalam majlis sama, Perdana Menteri turut menyampaikan bantuan berjumlah RM21.8 juta yang memanfaatkan 28,295 orang pesawah dan peladang di negeri Perak.
Bantuan-bantuan yang disampaikan adalah di bawah Program Pemerkasaan Usahawan Peladang (Rise-UP), Program Pemilikan Jentera Kecil dan Sederhana Secara Geran Padanan, Program Agriprentice, Dana Tabung Hijrah Agrobank, Bantuan Khas Sumbangan Tunai Pesawah dan Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah.
Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan akan terus membela nasib pesawah di seluruh negara melalui penyaluran pelbagai bantuan.
“Pada tahun 2023, Kerajaan Perpaduan telah mengumumkan pemberian subsidi dan insentif berjumlah RM1.6 bilion.
“Sejumlah RM60 juta turut diagihkan kepada pesawah melalui bantuan khas sumbangan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).
“Di samping itu, BERNAS turut bersetuju mengagihkan 30 peratus daripada keuntungan bersih import beras kepada pesawah.
“Kerajaan turut menyalurkan bantuan tunai kepada pesawah sebanyak RM200 sebulan untuk tempoh 3 bulan atau semusim dan tambahan RM200 bagi Bantuan Khas Aidilfitri,”ujar beliau. – Edisi 9

