26.4 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

Dua premis seleweng minyak masak bersubsidi diserbu

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi dalam dua serbuan berasingan di Rawang, Selangor semalam.

KPDN menerusi kenyataan berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota penguatkuasa KPDN Putrajaya kira-kira pukul 6 petang hasil risikan yang dilakukan beberapa hari sebelum operasi.

Katanya, hasil serbuan di kedua-dua premis membawa kepada rampasan minyak masak berjumlah 12,000 kilogram (kg), pam bermotor, hos penyambung, gunting besi, telefon bimbit, alat decoder kamera litar tertutup (CCTV) dan beberapa dokumen perniagaan lain.

“Nilai rampasan bagi kedua-dua kes ini dianggarkan berjumlah RM60,000. Seramai enam lelaki warga tempatan dan sembilan individu, dua daripadanya merupakan wanita, bukan warga tempatan telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya hari ini.

KPDN berkata, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini akan dibuat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak masak terbabit.

Advertisements

Menurut KPDN, serbuan pertama di sebuah premis tanpa nama di Rawang mendapati beberapa individu sedang leka melakukan aktiviti memotong bungkusan minyak masak paket 1kg bersubsidi yang kemudian dipindahkan ke dalam sebuah tangki jenis poly tank.

Katanya, modus operandi adalah membeli minyak masak paket 1kg bersubsidi, kemudian dipindahkan ke dalam sebuah tangki dan dibotolkan semula sebelum dijual mengikut harga terkini pasaran minyak masak bukan bersubsidi.

“Dalam satu lagi serbuan berasingan di Kawasan Perindustrian Anugerah Suria, Rawang, mendapati beberapa individu sedang leka melakukan aktiviti pemindahan minyak masak ke dalam sebuah lori tangki.

“Pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah minyak masak baharu yang telah siap diproses disyaki akan dijual di pasaran. 

“Modus operandi premis adalah berselindung di sebalik aktiviti jual beli minyak masak terpakai dan berurusniaga dengan barang kawalan iaitu minyak masak tanpa kebenaran,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Selepas kopi, Richiamo kembang sayap dalam bidang peruncitan

SELEPAS berjaya membina jenama dalam perniagaan kopi, Kumpulan Richiamo melebarkan sayap perniagaan dalam peruncitan dengan membuka rangkaian kedai runcit,...

Lagi Artikel Berkaitan