30.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 18, 2024

Dolla kembali dengan single Damelo

Mesti Baca

BAHARU sahaja memenangi Anugerah Kumpulan / Duo/ Kolaborasi Popular di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) yang ke-35, kumpulan nyanyian wanita popular Dolla bersedia untuk kembali dengan projek baharu.

Anugerah Bintang Popular adalah salah satu anugerah industri hiburan Malaysia yang paling lama sejarahnya. Ia mengiktiraf tahap populariti seseorang atau sesebuah kumpulan berdasarkan pilihan peminat.

Ini sekaligus membuktikan tahap populariti Dolla yang memang diakui oleh peminat.

Dengan itu mereka kembali bersama karya terbaharu berjudul Damelo.

Pada asalnya lagu ini ditulis dalam Bahasa Sepanyol kemudian diolah ke dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris oleh penyanyi rap wanita Sya dan diterbitkan oleh Joshua Tan, atau lebih dikenali sebagai Hard Lights.

“Walaupun lagu ini ditulis dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris, kami masih kekalkan beberapa bahagiandalam Bahasa Sepanyol sebagai penghormatan kepada penulis asal karya ini.

“Kami juga terpaksa belajar sedikit sebutan Bahasa Sepanyol daripada SonaOne dan adiknya untuk memastikan lagu ini disampaikan dengan betul.

“Selain itu kami juga suka bereksperimentasi dengan perkara baharu, malah kami juga mempunyai peminat dari Amerika Latin sekarang. Jadi ini adalah masa yang sesuai,” kata Dolla.

Dolla berkata, mereka sangat gembira dengan keluaran terbaharu ini dan ia satu kebanggan buat semua.

Lagu yang mempunyai judul dalam Bahasa Sepanyol ini mempunyai banyak makna buat empat gadisvberbakat ini.

“Lagu ini tentang melakukan apa sahaja untuk mencapai sesuatu dan untuk melakukan semua ini, kami menggunakan kebolehan serta tenaga kami sebagai wanita.

“Jika anda dengar lagu ini dengan betul, ia sebenarnya lagu kami yang paling feminin dan lantang bersuara mengenai pemerkasaan wanita,” kata mereka.

Damelo mengambil masa beberapa sesi untuk disiapkan ia juga hadir dengan sebuah video muzik menarik yang menampilkan visual sesuai dengan album penuh mereka yang akan terbit tidak lama lagi.

“Video muzik Damelo adalah satu langkah besar buat kami. Ia menampilkan sisi lain kami yang lebih matang dan menampilkan banyak unsur seperti padang pasir dan air dengan beberapa babak tarian juga.

Advertisements

“Kami mahukan sesuatu yang baharu dan luar biasa jadi kami cuba selitkan beberapa kejutan dalam video ini. Kami berikan sepenuh kepercayaan kepada Pyqul dan Tessera Productions untuk menghasilkan watak penjahat Sepanyol yang mereka berikan dengan baik.

“Pasukan itu muda, segar dan berjaya hasilkan video yang sangat hebat dan sesuai dengan lagu. Kami sangat gembira dengan video ini dan berharap semua orang akan menyukainya juga,” kata Dolla lagi.

Melalui banyak cabaran, Dolla terpaksa berhadapan dengan beberapa isu semasa penggambaran video muzik.

“Kami terpaksa beraksi di padang pasir dan sebuah bengkel yang sangat panas. Bayangkan kami terpaksa menari dan beraksi dengan lampu yang banyak selama berjam-jam di bawah sinar matahari.

“Tepukan buat pasukan penerbitan serta penari kami yang mampu bertahan dengan kepanasan tika itu dan masih kelihatan hebat dalam video.

“Walaupun panas, ia mula hujan sewaktu kami merakam babak bengkel dan gara-gara itu kami mengambil waktu lebih lama untuk menyiapkannya. Tapi secara umum ia satu pengalaman yang hebat berkat perancangan yang baik oleh pasukan penerbitan,” katanya.

Kumpulan ini berharap Damelo akan membenarkan mereka mendekati lebih banyak pendengar serta peminat antarabangsa.

“Kami belum pernah mencuba genre ini sepenuhnya dan berharap karya ini akan mencapai pasaran baharu.

“Ia juga lagu yang bagus untuk dinikmati di festival EDF. Harap semua akan menyukainya seperti kami,” kata mereka lagi.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, sebagai label yang mengembangkan sebuah kumpulan A-pop wanita, memenuhi piawaian serantau dan dunia memerlukan usaha yang banyak dari ekosistem keseluruhan termasuk dedikasi dari Dolla dan pasukan Universal Music sendiri.

“Hasil kerja ini terserlah dalam muzik, kerjasama jenama serta pengumuman konsert yang akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya.

Lagu Damelo sudah berada di semua platform digital sejak 28 Julai lalu manakala video muziknya boleh ditonton di saluran YouTube rasmi DOLLA VEVO.

Malah video muzik lirik lagu ini juga sudah memasuki carta ‘Trending’ laman YouTube Music dan berada di tangga yang ke-10. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

70,000 penduduk luar bandar nikmati elektrik biogas Felcra

KIRA-KIRA 70,000 penduduk luar bandar atau 14,000 rumah bakal menikmati bekalan elektrik yang stabil dan mencukupi menerusi janakuasa yang...

Lagi Artikel Berkaitan