32.9 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Lebih adil tanpa pengkelasan B40, M40 dan T20?

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

Oleh PROF MADYA DR MOHD EDIL ABD SUKOR

SESETENGAH ahli ekonomi berpendapat bahawa pengkelasan pendapatan berdasarkan kategori B40, M40, dan T20 adalah kurang wajar.

Ini kerana kaedah tersebut bersandarkan kepada jumlah pendapatan isi rumah secara kasar semata-mata tanpa melihat komitmen yang ditanggung mereka.

Dalam menilai garis kemiskinan, pelbagai faktor seharusnya diambil kira termasuklah saiz keluarga dan juga kuasa beli sesebuah isi rumah.

Baru-baru ini Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengumumkan bahawa bermula tahun 2024 kerajaan bercadang untuk menghapuskan pengkelasan pendapatan berdasarkan kategori B40, M40, dan T20 dan beralih kepada pengkelasan mengikut pendapatan bersih boleh guna.

Menurut beliau, pendapatan boleh guna atau turut dikenali sebagai pendapatan selepas ditolak cukai dapat memberi gambaran yang lebih baik dalam mengukur kemampuan kewangan sesebuah isi rumah untuk berbelanja, menyimpan dan juga membuat pelaburan.

Namun begitu, pengkelasan berdasarkan pendapatan kasar mahupun pendapatan boleh guna mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri.

Contohnya, pengkelasan melalui pendapatan kasar seperti B40, M40, dan T20 dilihat lebih mudah untuk dikira kerana ia mewakili jumlah pendapatan yang diperolehi isi rumah sebelum sebarang potongan dibuat.

Selain itu, pengkelasan ini juga dapat mengukur keupayaan sesebuah isi rumah dalam menjana pendapatan.

Advertisements

Maklumat ini diperlukan sebagai tanda aras kepada prospek kerjaya serta peluang pekerjaan di sesebuah negara.

Pengkelasan isi rumah melalui pendapatan kasar juga turut berperanan dalam penetapan dasar cukai negara selain menjadi ukuran asas kepada penunjuk makroekonomi seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Penting untuk kita sedari bahawa pengkelasan isi rumah berdasarkan pendapatan kasar seperti B40, M40, dan T20 adalah kurang berkesan dalam mengenal pasti ketidakseimbangan atau jurang pendapatan dalam sesebuah masyarakat.

Ini kerana, ia tidak mengambil kira kos sara hidup yang berbeza bagi setiap isi rumah seperti jumlah tanggungan mereka.

Oleh itu, pengkelasan berdasarkan pendapatan boleh guna yang dicadangkan kerajaan dilihat mampu menjadi kayu ukur yang lebih relistik tentang kuasa beli sesebuah isi rumah.

Contohnya, seorang bapa di Kuala Lumpur yang mempunyai sepuluh orang anak mungkin dikategorikan sebagai T20 berdasarkan pendapatan kasarnya.

Namun status bapa yang mempunyai komitmen keluarga yang sangat tinggi ini boleh berubah kepada kategori B40 berdasarkan pengkelasan melalui pendapatan boleh guna.

Walaupun pengkelasan melalui pendapatan dilihat lebih kompleks dan sukar, pengkelasan ini dilihat mampu memberikan perspektif yang lebih komprehensif dan tepat tentang situasi kewangan serta kuasa beli sesebuah isi rumah itu.

Justeru, pelbagai faktor termasuk saiz keluarga, kos sara hidup serta kuasa beli perlu dipertimbangkan dalam menilai garis kemiskinan sesebuah isi rumah itu. Ini kerana tidak semestinya kuasa beli mereka yang berpendapatan tinggi adalah tinggi.

Pendekatan baharu yang dicadangkan oleh pihak kerajaan untuk mengelaskan isi rumah mengikut pendapatan boleh guna adalah wajar disokong. Ini kerana pendekatan ini dilihat dapat membantu meminimumkan kesilapan dalam perkara berkaitan pemberian bantuan atau subsidi oleh kerajaan. 


Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya.

Advertisements

Terkini

CTOS sumbang RM30,000 biayai pelajar kurang bernasib baik

CTOS Digital Berhad telah menyumbang sebanyak RM30,000 untuk dana biasiswa bagi pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Permai, Ampang, Selangor...

Lagi Artikel Berkaitan