32.3 C
Kuala Lumpur
Friday, May 17, 2024

Kekurangan diri bukan halangan bagi Nursyuhaila, Amir

Nursyuhaila muncul pelajar terbaik bagi kategori spastik manakala Muhammad Amir dipilih pelajar terbaik kategori buta

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEKURANGAN yang ada pada diri tidak menjadi penghalang buat Nursyuhaila Abdullah, 20, dan Muhammad Amir Faris Mohd Firdaus, 20, muncul pelajar cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan hari ini.

Nursyuhaila muncul pelajar terbaik bagi kategori spastik manakala Muhammad Amir dipilih pelajar terbaik kategori buta masing-masing memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.92.

Mereka berdua antara empat pelajar terbaik dalam kategori calon berkeperluan pendidikan khas yang dipilih Majlis Peperiksaan Malaysia dan sekaligus membawa pulang anugerah berupa wang tunai RM1,000; plak dan sijil.

Nursyuhaila berkata, pemilihan sebagai pelajar terbaik tidak disangkanya.

“Memang saya tidak sangka dan tidak terfikir dapat dipilih sebagai pelajar terbaik dalam salah satu kategori calon berkeperluan pendidikan khas.

“Dengan kejayaan ini, menguatkan lagi semangat saya untuk tidak putus asa mengecapi kejayaan di masa hadapan meskipun ada kekurangan pada diri.

Muhammad Amir Faris Mohd Firdaus menerima Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2022 bagi kategori Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (Buta). – Foto: Edisi 9

“Pokok pangkalnya kita perlu terus berusaha, jangan mudah putus asa dan ia menjadi pegangan saya sehingga ke hari ini,”kata pelajar Kolej Tingkatan Enam, Kulim Kedah.

Advertisements

Kata anak bongsu dari empat beradik itu, dia berharap selepas ini dapat menyambung pelajaran di Univesiti Sains Malaysia (USM), dalam jurusan ekonomi.

Semangat yang sama turut diungkapkan Muhammad Amir yang menganggap kejayaan yang diperolehnya sebagai ‘hadiah’ untuk keluarganya.

Meskipun diakui ada cabaran dihadapinya namun berkat usaha dan kecekalannya membuahkan hasil.

“Alhamdulillah, inilah kejayaan yang saya impikan, akhirnya dapat jua.

“Resipi kejayaan tidak lain saya terapkan tiga elemen antaranya teguh kepada agama di samping menjadikan nasihat guru sebagai inspirasi untuk kecapi kejayaan.

“Saya akui, bukan seperti pelajar normal yang lain. Sukar pada mulanya untuk saya mengakses maklumat dalam bentuk gambar, tapi Alhamdulillah berkat usaha, membuahkan hasil,”katanya yang merupakan anak keempat dari lima beradik.

Muhammad Amir turut berharap dapat melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya (UM) dalam jurusan Pengajian Bahasa Melayu dan bercita-cita menjadi seorang pensyarah suatu hari nanti.-Edisi 9

Advertisements

Terkini

Balai polis Ulu Tiram diserang, dua anggota, suspek maut

DUA anggota polis maut manakala seorang cedera akibat ditembak dan ditetak seorang lelaki yang menceroboh masuk ke Balai Polis...

Lagi Artikel Berkaitan