25.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

JPPKK tawar Program Asasi TVET untuk lepasan SPM

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

JABATAN Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) menawarkan Program Asasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyambung pengajian di mana-mana Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

Universiti berpaksikan teknikal di bawah MTUN ialah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, inisiatif yang dilaksanakan di politeknik tempatan itu dijangka mampu memperkasakan lagi aliran TVET di negara ini.

Katanya, usaha itu selaras dengan agenda Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang sentiasa menggalakkan masyarakat untuk mengikuti aliran TVET seterusnya menyokong pembangunan negara.

“Bidang ini mempunyai peratusan kebolehpasaran graduan yang sangat tinggi saban tahun iaitu lebih daripada 90 peratus, justeru diyakini akan menjadi daya penarik kepada lepasan SPM untuk menyambung pelajaran ke peringkat pendidikan tinggi.

“Melalui Program Asasi TVET ini, hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk meningkatkan lagi bilangan graduan TVET akan dapat direalisasikan,” katanya selepas Sesi Libat Urus JPPKK & MQA, di sini, hari ini.

Advertisements

Hadir sama, Ketua Pengarah JPPKK, Dr. Mohd Zahari Ismail; Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) JPPKK, Ts. Muhamad Rumzi Mamat; Pengarah Kanan Pembangunan Dasar dan Kepakaran MQA, Mohamad Dzafir Mustafa dan Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik MQA, Abdul Razak Mohamed.

Sebelum ini, Mohamed Khaled dilaporkan berkata, pihaknya boleh menyediakan sekitar 12,000 tempat di MTUN dengan anggaran 3,000 di setiap universiti sementara terdapat kira-kira 200,000 atau 300,000 pelajar lepasan SPM dan matrikulasi.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, Program Asasi TVET itu bakal menjadi feeder kepada MTUN seterusnya mampu melahirkan graduan yang bakal memenuhi keperluan industri.

Katanya, negara bakal menikmati kelebihan pemerkasaan bidang TVET dari aspek peningkatan tenaga mahir tempatan dan perkembangan ekonomi.

“Selain itu, TVET mampu membantu mengurangkan pengangguran belia dengan memberikan mereka kemahiran relevan dan diperlukan oleh pasaran tenaga kerja yang seterusnya memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan pembangunan sosial,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan