25.6 C
Kuala Lumpur
Friday, December 1, 2023

Lelaki tikam bekas tunang kerana enggan terus hubungan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEORANG lelaki ditahan polis selepas menikam bekas tunangnya hingga mati di sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, wanita berusia 21 tahun yang juga pembantu kedai di premis berkenaan ditemui terbaring dengan beberapa kesan tikaman.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, mangsa memutuskan pertunangan dengan suspek tiga hari lalu atas alasan peribadi.

“Suspek dikatakan sering mengganggu mangsa hingga mencarinya di tempat kerja kerana tidak puas hati pertunangan diputuskan.

“Mangsa yang merupakan warga tempatan yang bekerja sebagai pembantu sebuah kedai dan bekerja sendirian ketika kejadian sebelum didatangi bekas tunangnya yang dikenali selama setahun.

“Suspek dikatakan memujuk mangsa namun wanita itu enggan meneruskan perhubungan mereka.

“Suspek dipercayai mendekati mangsa sebelum menikamnya beberapa kali, menyebabkan wanita itu rebah ke lantai berhampiran kaunter juruwang,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

Kalsom berkata, mangsa menjerit meminta tolong dan anggota keselamatan yang kebetulan berada berhampiran bergegas ke tempat kejadian.

“Saksi melihat mangsa terlantar di lantai manakala suspek berdiri di sebelahnya sambil memegang satu objek berlumuran darah,” katanya.

Anggota polis membawa keluar mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 bagi proses bedah siasat.

Pihak keselamatan ujar beliau, menghubungi polis dan suspek warga tempatan ditangkap di lokasi kejadian.

“Sejurus menerima maklumat, sepasukan anggota polis ke lokasi dan menemui mangsa sebelum menghubungi paramedik.

“Pasukan paramedik yang tiba pukul 12.50 tengah hari cuba memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) namun tidak berjaya sebelum mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 1 tengah hari.

Katanya, selain menahan suspek, pihak polis turut menemui sebilah pisau dipercayai digunakan suspek untuk menikam mangsa.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) untuk bedah siasat manakala suspek ditahan untuk proses reman,” katanya.

Ujar beliau, kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terkini

KKM rekod lima kes baharu cacar monyet

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) merekodkan lima kes baharu jangkitan cacar monyet dalam tempoh 31 Oktober hingga semalam, menjadikan jumlah kumulatif jangkitan...

Lagi Artikel Berkaitan