27.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

SHMMP berkuat kuasa 15 April – KPDN

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

PELAKSANAAN Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Hari Raya Aidilfitri akan berkuat kuasa selama 16 hari bermula 15 hingga 30 April ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sebanyak 30 barangan akan dikawal di bawah skim tersebut.

Katanya, ini termasuk enam jenis barangan daripada kategori ayam dan telur di bawah Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam yang sedang berkuat kuasa sejak 5 Februari lalu.

“Tempoh pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2023 kali ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa, mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga.

“Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama.

“Senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti faktor cuaca, ekonomi global, kadar tukaran wang asing, kadar upah dan permintaan serta penawaran,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

SHMMP Hari Raya Puasa 2023 akan dikuat kuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 yang membolehkan penentuan harga dibuat.

Advertisements

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, pegawai penguat kuasa KPDN juga akan ditugaskan di lokasi- lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan.

“Strategi ini membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan dengan tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna dan tindakan penguatkuasaan ke atas peniaga sekiranya berlaku ketidakpatuhan.

“Selain itu, kementerian sentiasa menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan bekalan barangan yang dikawal mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.

“Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.

“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti,” ujarnya.

Harga maksimum yang ditetapkan SHMMP Hari Raya Puasa 2023 di peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di https://www.kpdn.gov.my. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan