30.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 8, 2024

Ladang Ummah optimis jadi peneraju ternakan ruminan

Syarikat sasar membawa masuk pelaburan sebanyak RM 10 juta sebagai usaha memperkukuhkan industri penternakkan ruminan negara.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

LADANG Ummah (M) Sdn Bhd optimis menjadi peneraju penternakan ruminan dengan kekuatan memasarkan 10,000 lembu setahun khusus untuk dalam negara menjelang 2025.

Syarikat yang diasaskan menerusi sokongan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu juga menyasarkan bagi membantu mengurangkan kebergantungan Malaysia pada import ternakan dari luar negara dan pada masa yang sama, memperkasakan industri ternakan tempatan.

Justeru syarikat telah memeterai sebuah memorandum perjanjan (MoU) pelaburan antara NRG Capital Sdn Bhd. bagi tujuan membawa masuk pelaburan sebanyak RM 10 juta sebagai usaha memperkukuhkan industri penternakan ruminan negara.

Majlis berkenaan telah disempurnakan antara Pengerusi Ladang Ummah (M) Sdn. Bhd. Ahmad Sani Abdul Alim Araby dan Ketua Pegawai Eksekutif NRG Capital Sdn. Bhd., Huda Nur Liana Roslan.

Ahmad Sani berkata, industri penternakan menjadi sebutan selepas ketidaktentuan pasaran industri makanan khususnya daging lembu hingga pelbagai usaha dan pelan dilakukan oleh pihak kerajaan mahupun industri dalam mengawal jaminan pasaran makanan negara.

“Namun sehingga kini, kebergantunggan negara kepada daging import masih meninggi.

“Menurut data dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia, pada tahun 2020, Malaysia telah mengimport lebih daripada 207,000 tan lembu hidup dan daging lembu seberat 225,000 tan untuk memenuhi keperluan pengguna di negara ini.

“Manakala menurut Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia, sektor ternakan menyumbang sebanyak 7.3 peratus kepada keluaran sektor pertanian negara pada tahun 2020,” katanya.

Ladang Ummah merupakan sebuah syarikat bumiputera yang diasaskan menerusi sokongan MAPIM dengan objektif untuk memperkasakan industri penternakan negara mengikut kehendak syariah, Halal, Toyyib dan bebas dari sebarang Syu’bah.

Advertisements

“Syarikat juga merupakan pengimport ternakan dari seluruh dunia bagi permintaan daging ayam, lembu, kerbau dan kambing.

“Syarikat berpandangan dengan meningkatnya kesedaran tentang keselamatan makanan dan kepentingan untuk membangun ketahanan negara dalam bekalan makanan, terdapat permintaan yang semakin meningkat untuk produk ternakan tempatan di Malaysia.

“Dengan menumpukan kepada permintaan domestik, Ladang Ummah berharap dapat membantu mengurangkan kebergantungan Malaysia pada import ternakan dari luar negara dan pada masa yang sama, memperkasakan industri ternakan tempatan,” katanya.

Jelas beliau, industri penternakan negara berada dalam segmen kritikal jika kita gagal melaksanakan usaha bersungguh untuk keterjaminan makanan domestik.

“Justeru syarikat Ladang Ummah optimis berusaha menjadi peneraju penternakkan ruminan dengan kekuatan memasarkan 10,000 lembu setahun khusus untuk dalam negara menjelang 2025.

“Ladang Ummah juga telah dijemput oleh kerajaan Rusia untuk menghadiri dan meneroka peluang kerjasama pelaburan dalam Kazan Economic Forum 2023 yang akan diadakan di Tatarstan pada bulan Mei ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ladang Ummah, Kolonel Bersekutu (PA) Faris Hussain, mengalu-alukan pelabur, rakan strategik dan semua pihak untuk terus bergabung dengan pihak Ladang Ummah dalam meluaskan pasaran serta mengukuhkan industri ini.

“Setakat ini kita mempunyai 3 buah ladang di 3 negeri iaitu di Selangor, Perak dan juga Kedah.

“Pihak syarikat juga menerima lebih 100 permohonan termasuk dari Sabah dan Sarawak untuk pengusaha lembu menyertai program ladang satelite kepada syarikat Ladang Ummah,” katanya.-Edisi 9

Advertisements

Terkini

Benarkah kanak-kanak di Malaysia tak dapat cukup pendidikan?

Oleh DR ABD RAZAK ZAKARIA LAPORAN Bank Dunia berkaitan kualiti pembelajaran dan pendidikan di Malaysia baru-baru ini sedikit memberi kesan...

Lagi Artikel Berkaitan