KELAB baharu Cristiano Ronaldo, Al Nassr mengumumkan jurulatihnya, Rudi Garcia meninggalkan kelab Arab Saudi itu.
“Al Nassr mengumumkan bahawa ketua jurulatih Rudi Garcia meninggalkan kelab menerusi persetujuan bersama,” kata kelab itu dalam satu kenyataan berbahasa Inggeris di Twitter.
“Ahli majlis dan semua orang di Al Nassr mengucapkan terima kasih kepada Rudi dan stafnya kerana dedikasi sepanjang lapan bulan lalu.”
Pengendali dari Perancis itu dilantik Julai tahun lalu dan pernah melatih Lille, Marseille dan Lyon serta berpangkalan di Itali selama dua setengah tahun mengetuai Roma.
Al Nassr kini berada di kedudukan kedua Liga Arab Saudi, tiga mata di belakang pendahulu, Al Ittihad.
Ronaldo, yang kini berusia 38 tahun, menyertai kelab berpangkalan di Riyadh itu pada Disember menerusi perjanjian hingga Jun 2025. – Edisi 9