26 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Akta Racun: Pemuda UMNO desak tarik balik keputusan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PEMUDA UMNO hari ini mendesak kerajaan menarik balik keputusan berkaitan penarikan cecair yang mempunyai nikotin daripada Akta Racun bagi mengelak pengambilan bahan tersebut tanpa kawalan.

Ketuanya, Dr Akmal Saleh berkata, mengeluarkan cecair vape yang mempunyai nikotin daripada Akta Racun agar boleh dikenakan cukai semata-mata juga bukanlah satu tindakan yang wajar dan bijak pada ketika ini.

“Benar sebelum ini, kesemua cecair vape tidak dapat dikenakan cukai atas sebab cecair vape yang mempunyai nikotin ini berada di dalam senarai Akta Racun.

“Akan tetapi implikasi terhadap kesihatan rakyat dalam jangka masa yang panjang adalah jauh lebih penting dari keuntungan yang diperoleh hasil dari pungutan cukai ke atas cecair vape ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penarikan cecair yang mempunyai nikotin dari Akta Racun itu seolah-olah memberi lesen besar untuk membenarkan rakyat Malaysia tanpa mengira umur mengambil nikotin tanpa sebarang bentuk garis panduan.

vape
Pemuda UMNO bantah vape dikeluarkan daripada Akta Racun. – Gambar hiasan

“Pemuda UMNO mencadangkan agar keputusan ini perlu dinilai dan ditarik semula sehingga Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok yang akan mewujudkan Generasi Penamat Rokok dan Vape yang lahir selepas tahun 2007 (Generational End GameGEG) supaya kesan buruk jangka masa panjang terhadap kesihatan rakyat dapat dikurangkan,” katanya.

Malah ujar Dr Akmal, Pemuda UMNO juga bimbang sekiranya tiada garis panduan yang jelas ia memberikan kesan yang besar khususnya kepada golongan muda untuk terdedah kepada pengambilan nikotin tanpa kawalan.

Advertisements

“Rasional terhadap cadangan ini adalah Akta GEG perlu dilaksanakan terlebih dahulu barulah Kerajaan wajar mengeluarkan cecair vape yang bernikotin ini dari Akta Racun agar cukai yang tinggi boleh dikenakan ke atas pengguna tidak tergolong di dalam generasi penamat untuk mengurangkan kadar penggunaan vape di kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Pemuda UMNO berpendirian tegas agar cadangan yang dikemukakan tersebut dapat dipertimbangkan secara serius oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya juga akan menyerahkan surat berhubung perkara ini, menyatakan bantahan serta cadangan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Menteri Kesihatan (Dr. Zaliha Mustafa),” katanya.

Terdahulu, Kerajaan melaksanakan cukai ke atas penjualan cecair vape pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml) bermula semalam.

Pelaksanaan cukai itu diumumkan menerusi notis warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan Jumaat lalu oleh Anwar yang juga Menteri Kewangan.

Warta dikeluarkan Dr. Zaliha pula menyatakan nikotin termasuk tembakau, tampalan dan gula-gula getah, cecair dan gel nikotin kini dikecualikan daripada Akta Racun 1952.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Pemuda UMNO gesa ‘haramkan’ Prof Gilley masuk Malaysia

PEMUDA UMNO Malaysia hari ini mendesak kerajaan mengharamkan seorang ahli akademik pro-zionis Israel, Bruce Gilley daripada memasuki negara ini. Ketuanya,...

Lagi Artikel Berkaitan