SELURUH umat Islam di negara ini akan mula menunaikan ibadah puasa bermula esok.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Daniel Syed Ahmad mengumumkan tarikh tersebut menerusi radio dan televisyen malam tadi.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Malaysia mengisytiharkan bahawa tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Khamis, 23 Mac 2023,” katanya hari ini.
Terdahulu, pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan menetapkan semalam sebagai tarikh melihat anak bulan Ramadan di 29 tempat di seluruh negara.
Antara lokasinya adalah Pontian Kecil di Johor, Kompleks Falak Al-Khawarizmi (Melaka), Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang (Negeri Sembilan), Bukit Melawati (Selangor), Bukit Jugra (Selangor), Balai Cerap Selangor, Pantai Pasir Panjang (Perak), Pusat Falak Sheikh Tahir (Pulau Pinang), Kampung Pulau Sayak (Kedah) Pemandangan Indah, Pulau Langkawi (Kedah), Menara Alor Setar (Kedah), Bukit Besar (Terengganu), Bukit Geliga, (Terengganu), Pulau Perhentian, (Terengganu), Balai Cerap KUSZA, (Terengganu), Bukit Peraksi (Kelantan) dan Bukit Kampong Tembeling (Kelantan). – Edisi 9