DATUK Seri Anwar Ibrahim menyarankan aktiviti wakaf perlu terus disemarakkan bagi menggalakkan lebih ramai masyarakat sama ada individu, persatuan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menjadikan amalan berwakaf suatu tradisi yang perlu dihidupkan.
Perdana Menteri berkata, syarikat kerajaan terutamanya, perlu mencari hala tuju baharu untuk meningkatkan usaha membangunkan wakaf.
“Pihak berkenaan boleh memilih untuk menetapkan kaedah dan juga keutamaan dalam bidang-bidang tertentu.
“Saya percaya dengan ikhtiar tambahan institusi wakaf ini, kita dapat menyemarakkan lagi terutama bulan Ramadan ini akan meningkatkan usaha amal jariah, sedekah dan wakaf, sekali gus menghidupkan serta menghayatkan Ramadan.
“Gesaan saya, kita dapat memantau juga terutama GLC ini untuk mencari hala tuju baharu bagi meningkatkan usaha yang sedemikian,”katanya dalam ucapan pelancaran Bulan Wakaf Kebangsaan Tahun 2023 menerusi segmen Assalamualaikum Khas di TV AlHijrah hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Ruslan Said yang mewakili Ketua Pengarah, Datuk Hakimah Yusof.
Ucapan Anwar disiarkan secara rakaman berikutan beliau kini berada di Arab Saudi dalam urusan lawatan rasminya selama dua hari.
Perdana Menteri berkata, semasa membentangkan Belanjawan 2023, wakaf Madani telah diwujudkan dengan aset bernilai RM1 billion atas komitmen pihak swasta.
“Wakaf Membangun Malaysia Madani ini merangkumi enam aspek iaitu sara hidup, makanan, kesihatan, pendidikan, utiliti, pengangkutan, perumahan dan penglibatan korporat,” katanya.
“Bagi tujuan ini, pihak kerajaan akan mengumumkan dengan lebih terperinci apa itu wakaf Madani dan apakah langkah-langkah yang harus dilakukan untuk memajukan wakaf secara keseluruhan, dalam masa terdekat,”katanya.
Dalam pada itu, katanya, pihak kerajaan akan mengkaji dan meneliti pembangunan di atas tanah-tanah wakaf sedia ada yang masih belum dibangunkan agar ia dapat memberi manfaat kepada masyarakat dengan mengambil kira kejayaan pembangunan sedia ada di atas tanah wakaf.
Jelas beliau, wakaf ini telah menjadi tradisi umat sejak zaman Rasulullah SAW lagi, apabila Baginda mewakafkan kebun kurma di Madinah dan kemudiannya melancarkan Masjid Quba.
“Tradisi mewakaf ini diteruskan sehingga hari ini, yang kita lihat menerusi pembinaan masjid, pusat pengajian dan universiti utama dunia Islam termasuk Univeriti Al-Azhar. Ini semua adalah usaha wakaf.
“Manakala seorang pemikir Islam, melihat wakaf di zaman baharu dan moden pasca merdeka seperti yang berlaku di Indonesia, melahirkan ratusan universiti, Maahad Tahfiz, kolej yang kebanyakannya diusahakan oleh Nahdlatul Ulama dan Muhammadiah,”katanya.
Menurut Perdana Menteri lagi, Malaysia juga tidak ketinggalan dalam menyemarakkan wakaf, walaupun tidak sebesar Indonesia. – Edisi 9