25.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Perodua maksimumkan pengeluaran dan pendaftaran pada 2023

Berdasarkan tempoh menunggu bagi kebanyakan jenama, serta permintaan yang masih kukuh untuk kenderaan Perodua, TIV berpotensi mencecah 700,000 tahun ini.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PERODUA berusaha untuk memaksimumkan jumlah pengeluarannya kepada 330,000 unit dan jualan kepada 314,000 unit tahun ini, disokong oleh tempahan tertunggak yang dibawa daripada tahun lepas serta permintaan berterusan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, tahun ini (2023) memberi peluang keemasan kepada kami kerana para pengguna masih mempunyai keyakinan terhadap pasaran automotif. Malah, lebih separuh daripada jumlah sasaran kami adalah daripada tempahan yang kami kumpul tahun lepas tetapi masih belum dihantar,” kata Presiden dan

“Memandangkan kapasiti normal bagi pengeluaran terpasang tahunan kami untuk kilang Perodua Manufacturing dan Perodua Global Manufacturing berada pada 320,000 unit dalam dua kitaran syif, kami masih boleh meningkatkan volume kami dengan menambahbaik produktiviti dan memulakan kerja lebih masa,”katanya ketika berucap di sebuah hotel terkemuka ibu negara semalam.

Beliau berkata, kesan pertumbuhan pengeluaran sedemikian kepada industri automotif Malaysia akan menjadi lebih ketara kerana Perodua telah memperuntukkan RM10.0 bilion untuk membeli alat ganti daripada para pembekal tempatan bagi memenuhi sasarannya bagi tahun ini.

“Komitmen pembelian ini dijangka akan menggalakkan lagi ekosistem automotif Malaysia untuk menambahbaik keupayaan pengeluaran dan standard kualitinya.

“Secara ringkas, peningkatan dalam pengeluaran akan memberi rangsangan yang amat diperlukan buat industri tempatan kita untuk meningkatkan skala ekonomi mereka serta bersaing dengan lebih baik dengan rakan mereka yang lain di luar negara,”katanya.

Sasaran 330,000 pengeluaran dan 314,000 jualan masing-masing adalah lebih tinggi iaitu 14.2 peratus dan 11.3 peratus berbanding prestasi pengeluaran dan jualan Perodua pada 2022 yang masing-masing mencatatkan sebanyak 289,054 dan 282,019.

Secara keseluruhannya, Perodua telah menghasilkan sejumlah 4.68 juta kenderaan sejak ia mula dikeluarkan pada 1994.

“Dari segi pasaran keseluruhan, kami percaya bahawa masih ada peluang yang cerah buat industri walaupun menghadapi banyak tekanan kos.

“Kami percaya jumlah volume industri boleh melebihi 650,000 unit seperti yang diumumkan oleh Persatuan Automotif Malaysia,”kata beliau.

Beliau berkata, berdasarkan tempoh menunggu bagi kebanyakan jenama, serta permintaan yang masih kukuh untuk kenderaan Perodua, TIV berpotensi mencecah 700,000 tahun ini.

Jelasnya, dari sudut perluasan, Perodua telah memperuntukkan sebanyak RM 1.15 bilion perbelanjaan modal tahun ini untuk menambahbaik operasi bagi kumpulannya.

Advertisements

Antara bidang utama penambahbaikan termasuk bahagian perniagaan baharunya di mana Perodua sedang meluaskan perniagaan Kenderaan Terpakai (POV), terutamanya selepas mendapat respon positif daripada orang awam selepas pelancaran Ativa Hybrid pada September 2022.

“Kami juga memperuntukkan RM 537.1 juta untuk pembangunan model baharu, serta RM 247.1 juta untuk memodenkan lagi operasi kami termasuk menaiktaraf pusat 1S dan 2S sedia ada kepada pusat 3S,”katanya.

Dalam industri automotif, istilah 1S merujuk kepada bilik pameran jualan kendiri, 2S merujuk kepada pusat servis dan alat ganti manakala 3S adalah gabungan kedua-duanya.

“Adalah menjadi hasrat Perodua untuk berkembang bersama rakan-rakan niaga kami dan kami mahu melakukan ini dengan cara yang akan memberi manfaat bersama dan kekal mampan.

“Dengan penambahbaikan yang dirancang untuk rangkaiannya, Perodua mensasarkan peningkatan dalam jumlah pengambilan kenderaan di pusat servisnya.

“Untuk 2023, kami mensasarkan untuk melihat peningkatan dalam pengambilan kenderaan kepada 2.8 juta unit daripada 2.6 juta yang dicatatkan pada 2022.

“Pertumbuhan ini akan menjadi gabungan penambahbaikan dari segi tempoh masa dan ruang servis kami di seluruh
negara,”katanya.

Dalam pada itu, Zainal berkata, bagi tahun 2023 faktor risiko termasuklah inflasi yang lebih tinggi,peningkatan berterusan pada kadar faedah dan faktor kos luaran yang lebih tinggi seperti kos bahan api, janakuasa termasuklah kos komoditi dan bahan mentah.

“Faktor-faktor kos ini, jika naik terlalu mendadak akan memberi kesan negatif kepada momentum semasa kami. Peningkatan tersebut bukan sahaja berpotensi menekan pasaran malah memadam keuntungan yang diperoleh industri kerana ia baru sahaja dalam proses pemulihan,”katanya.

Beliau menambah, bekalan cip semikonduktor masih menjadi faktor utama pengeluar, bukan sahaja untuk pemain automotif tetapi juga industri seperti elektrik dan elektronik serta industri berat lain yang bergantung kepada teknologi tersebut.

“Kami sedang memantau faktor ini dengan teliti tetapi untuk setakat ini, kami telah memperoleh cip yang diperlukan untuk memenuhi sasaran kami,”ujar beliau. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kerajaan Pusat lulus peruntukan RM1.59 bilion untuk Terengganu

KERAJAAN Persekutuan meluluskan peruntukan RM1.59 bilion di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi manfaat rakyat...

Lagi Artikel Berkaitan