24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Bukit Tinggi, Janda Baik dilanda banjir kilat

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BEBERAPA penempatan di Bukit Tinggi dan Janda Baik di Pahang dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan, petang tadi.

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, pejabatnya mendapat berita mengenai kejadian banjir di kawasan tersebut.

“Saya dan Adun Ketari, Thomas Su, kini dalam perjalanan ke kawasan. Menurut maklumat OCS (Ketua Balai Polis Bukit Tinggi) air sudah semakin perlahan namun dinasihatkan agar berjaga-jaga,” katanya dalam Facebook hari ini.

Beberapa video memaparkan keadaan banjir kilat di kawasan tersebut mulai tersebar sejak petang tadi.

Dalam hantaran berlainan, Young Syefura memaklumkan terdapat jalan terputus hubungan di Ft68 Sec 43.4, membabitkan laluan lama Bentong Kuala Lumpur.

“Selepas laluan naik ke Janda Baik, laluan akan ditutup untuk semua kenderaan. Terima kasih,” katanya.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bentong, Leftenan (PA) Azizah Husain berkata, sebanyak 15 premis perniagaan dan lima rumah dilaporkan terjejas dalam kejadian bajir kilat itu.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat awal tiada mangsa yang dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

“Berikutan kejadian kepala air, Jalan lama Bentong – Kuala Lumpur terputus hubungan dan ditutup kepada semua kenderaan di FT68 Seksyen 43.4, selepas laluan naik ke Janda Baik.

Advertisements

Menurut Azizah lagi, air berlumpur mengalir deras menuruni bukit ke kawasan perkampungan Bukit Tinggi bermula pukul 6 petang sehingga kini menyebabkan banyak kenderaan yang melalui kawasan itu terkandas.

Sementara itu, Polis Bentong dalam satu hantaran di Facebook menyatakan hujan lebat berterusan bermula pukul 5.30 petang telah mengakibatkan beberapa kawasan di Bukit Tinggi dinaiki air.

“Tindakan pantas telah diambil oleh Pihak Polis khususnya Anggota Balai Polis Bukit Tinggi yang diketuai oleh Sarjan Mejar (SM) Izhar Anis, Ketua Polis Balai Bukit Tinggi.

“Proses pemantauan oleh Pihak Polis masih diteruskan terutama di kawasan-kawasan hotspot banjir sebagai langkah kesiapsiagaan,” katanya hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihati agar terus berwaspada dan berhati-hati dalam menghadapi situasi banjir.

“Sila patuh kepada arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa bagi menggelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Awasi anak-anak anda dan jangan biarkan mereka bermain di kawasan banjir.

“Sekiranya kawasan anda dinaiki air, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan (DCC) IPD Bentong di talian 09-222 2222 atau menghubungi mana-mana balai yang berdekatan untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan