31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Anwar selamat tiba di tanah air dari Turkiye

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di tanah air hari ini selepas mengadakan lawatan sehari ke Turkiye.

Lawatan beliau ke Turkiye bagi menzahirkan komitmen Malaysia dalam membantu rakyat negara itu yang terkesan dengan malapetaka gempa bumi yang berlaku pada 6 Februari lalu.

Pesawat khas yang membawa Anwar serta delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira jam 9 pagi.

Ketibaan Anwar bersama Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali disambut Duta Besar Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel.

Dalam lawatan itu, Anwar telah bertemu Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Ankara bagi menyampaikan ucapan takziah daripada rakyat Malaysia dan memaklumkan berkenaan bentuk bantuan yang telah diusahakan pihak kerajaan Malaysia.

Advertisements

Perdana Menteri turut menyantuni pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Malaysia yang bertugas membantu mangsa gempa bumi di Nurdagi, Turkiye dan melahirkan rasa bangga atas kecekapan dan tahap profesionalisme pasukan itu.

Pasukan SAR negara terdiri daripada anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Kor Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia.

Anwar telah menunjukkan komitmen dan solidariti kepada rakyat negara itu dengan menghantar dua pasukan SMART termasuk dua anjing pengesan (K9) serta membina Hospital Medan Malaysia Tahap Tiga yang dikendalikan Angkatan Tentera Malaysia.

Pada 6 Februari lepas, gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter telah melanda kawasan selatan Turkiye serta Syria, dan setakat 13 Februari, dilaporkan bilangan kematian mencecah 31,644 orang, dengan 106,428 lagi cedera, manakala di Syria pula, 5,329 orang maut dan 14,500 orang cedera.

Setakat Selasa lepas, pasukan SAR negara telah mengeluarkan 47 mayat dan menyelamatkan lima sekeluarga. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

PRK Kuala Kubu Baharu masa untuk BN balas jasa PH – Zahid

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) adalah waktu untuk Barisan Nasional (BN) membalas...

Lagi Artikel Berkaitan