JAGUNG Bijian menjadi topik perbincangan Malaysia dan Brazil sebagai usaha memperkukuhkan hubungan perdagangan pertanian
Terdahulu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) Mohamad Sabu menerima kunjung hormat Duta Besar Brazil, Ary Norton De Murat Quintella.
Mohamad berkata, perbincangan pada petang ini berkisar tentang kerjasama antara dua negara, Malaysia dan Brazil dalam bidang pertanian khususnya berkaitan dengan Jagung Bijian atau Grain Corn.
“Brazil adalah merupakan rakan dagang Malaysia yang sentiasa bergiat aktif dalam memperkukuhkan hubungan perdagangan pertaniannya,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga Oktober 2022, nilai import produk pertanian dan makanan daripada Brazil adalah sebanyak RM4.32 bilion.
“Selain daripada produk bijirin dan makanan ternakan, Malaysia turut mengimport daging daripada Brazil,” katanya.
Ujar Mohamad, MAFS komited menjalankan transformasi dalam bidang pertanian untuk menjamin kebolehcapaian makanan yang cukup dengan harga berpatutan kepada rakyat di kala negara berhadapan dengan inflasi makanan global. – Edisi 9