MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan semakan kehakiman oleh seorang bekas sarjan tentera terhadap keputusan Tentera Darat Malaysia (TDM) yang menamatkan perkhidmatannya kerana tidak mengambil vaksin Covid-19, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan demikian selepas mendapati TDM telah mewajibkan pengambilan vaksin terhadap anggotanya termasuk pemohon, Wan Ramli Wan Seman, adalah wajar.
Pada 27 September 2021, seorang bekas sarjan tentera yang diberhentikan perkhidmatannya selepas menolak vaksinasi Covid-19, memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan Tentera Darat Malaysia (TDM) itu.
Wan Ramli yang pernah bertugas di batalion ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Kem Rasah, Negeri Sembilan, menamakan Leftenan Kolonel Sharull Hesham Md Yasin; Leftenan Mohamad Azammunir Mohd Ashri; Panglima TDM, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, TDM dan kerajaan sebagai responden.
Sharull merupakan pegawai memerintah Kem Rasah sementara Azammunir didakwa merupakan pegawai yang menandatangani surat pemberhentian itu.
Mereka dianggap berada di bawah pengawasan, kawalan, arahan dan undang-undang serta pentadbiran dasar dari tiga responden yang lain.
Wan Ramli meminta pengisytiharan bahawa surat pemberhentian bertarikh 4 Ogos 2021, serta penamatan perkhidmatannya adalah tidak sah.
Menurut kertas kausa, Wan Ramli mendakwa bahawa pada 3 Julai 2021, dia mendapat arahan di sebuah klinik kesihatan untuk mengambil vaksin Covid-19.
Namun, dia tidak berbuat demikian dan menggunakan hak perlembagaannya agar tidak mengambil vaksin.
Wan Ramli mendakwa, tarikh penamatan perkhidmatan asal pada 2 Januari 2023, namun dipecat secara tidak terhormat pada 26 Ogos 2021 mengikut empat seksyen bawah Akta Angkatan Tentera 1972.
Susulan itu, katanya, dia berpendapat hak pencennya dinafikan mengikut Artikel 147 Perlembagaan Persekutuan, sekali gus turut memohon kos dan relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Pada 23 Ogos lalu, Tentera Darat mengesahkan seorang anggotanya diberhentikan kerana menolak pengambilan vaksin COVID-19.
Tindakan itu diambil kerana setiap anggota tentera wajib mengambil suntikan terbabit, terutama sebelum melaksanakan tugasan dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib berikutan ingkar perintah ditetapkan.
-EDISI9