YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyaksikan perjanjian kerjasama antara Petronas Abu Dhabi Sdn Bhd dan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC).
Perjanjian yang bersejarah antara anak syarikat milik penuh Petronas dan ADNOC itu melibatkan kerjasama dalam meneroka dan menilai Unconventional Onshore Block 1 yang meliputi kawasan konsesi seluas 2,000 kilometer persegi di wilayah Al Dhafra.
Majlis memeterai perjanjian itu berlangsung di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) petang semalam (waktu tempatan).
Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif ADNOC, Dr Sultan Ahmed Al Jaber menandatangani perjanjian tersebut.
Hadir sama, Presiden UAE, Syeikh Mohamed Zayed Al Nahyan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abd Aziz.

Sementara itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar kerjasama itu akan membuka lembaran baharu kerjasama strategik dalam pelbagai sektor termasuk sektor ekonomi antara kedua-dua negara demi kepentingan dan kemakmuran bersama.
“Kerjasama ini juga secara langsung mengiktirafkan dan membuktikan sekali lagi keupayaan syarikat-syarikat Malaysia bersaing di peringkat global.
“Selain itu, kejayaan kerjasama antara syarikat gergasi pengeluar minyak dan gas negara dan Abu Dhabi itu juga secara langsung mencerminkan hubungan dua hala yang rapat antara Malaysia dan UAE di peringkat termasuk antara pemimpin- pemimpin kedua-dua negara dan hubungan sesama rakyat.
“Ini sejajar dengan keputusan kedua-dua negara sebelum ini bagi menaik taraf hubungan ke peringkat perkongsian strategik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Seri Paduka Baginda kini dalam rangka lawatan khas ke Abu Dhabi selama empat hari sehingga 7 Disember 2022 atas persilaan peribadi Presiden UAE, Yang Mulia Syeikh Mohamed Zayed Al Nahyan.
Lawatan ini adalah lawatan kelima Seri Paduka Baginda ke Abu Dhabi sejak Baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada tahun 2019. – Edisi 9