25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

RISDA sasar 2,500 hektar tanam semula getah di Kedah

Bagi kawasan Padang Terap, sebanyak 351 hektar telah diluluskan untuk pembangunan penanaman semula getah melalui sasaran tahun ini seluas 400 hektar untuk dimajukan.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mensasarkan untuk menambah keluasan tanam semula getah di negeri Kedah seluas 2,500 hektar tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, setakat ini seluas lebih 1,551 hektar tanam semula komoditi itu telah dilaksanakan.

“Bagi kawasan Padang Terap sahaja, sebanyak 351 hektar telah diluluskan untuk pembangunan penanaman semula getah melalui sasaran tahun ini seluas 400 hektar untuk dimajukan.

“Manakala bagi kawasan Mukim Batang Tunggang Kiri ini sahaja, 88.27 hektar telah dimajukan setakat ini dengan penglibatan seramai 63 orang pekebun kecil dengan nilai bantuan lebih RM135 ribu.

“Ini menunjukkan prestasi yang baik dalam keadaan cuaca dan ekonomi yang tidak menentu dalam memastikan produktiviti getah terus dapat ditingkatkan.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pekebun Kecil RISDA Makmur Daerah Padang Terap di Kampung Baru Padang Sanai, Kedah, hari ini.

Jelas Mahdzir, selain program tanam semula getah, RISDA turut menyediakan Program Skim Getah Matang (SGM) meliputi inisiatif Peningkatan Produktiviti Getah (PPG) dan Skim Insentif Produktiviti Getah (SIPG) bagi membantu peningkatan produktiviti pokok getah matang.

“Bagi insiatif PPG, di mukim ini sebanyak RM32,477 disalurkan bagi manfaat 12 orang pekebun kecil dengan jumlah keluasan kebun 17.8 hektar.

“Manakala bagi inisiatif SIPG pula, 85 orang pekebun kecil menerima manfaat yang melibatkan peruntukan sebanyak RM36,468 dengan jumlah luas kebun 110.47 hektar.

“Ini merupakan bantuan-bantuan istimewa yang disediakan oleh KPLB melalui RISDA untuk kesejahteraan dan kemakmuran pekebun kecil getah walaupun mereka telah menerima bantuan untuk program tanam semula getah.”

Tambah Mahdzir, matlamat utama program-program sokongan itu adalah bagi memastikan produktiviti kebun getah matang pekebun kecil dapat ditingkatkan kepada 1,800 kilogram sehektar setahun.

“Ianya juga bagi memastikan sasaran pendapatan purata pekebun kecil mencapai RM4,500 sebulan sekeluarga menjelang tahun 2025 melalui rantaian bantuan dan inisiatif yang disediakan oleh pihak kerajaan melalui RISDA,” kata Mahdzir.

-EDISI9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan