25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Pelan komprehensif perlu laksana, atasi kehilangan masa belajar

Kita perlu pertimbangkan isu pendidikan di luar bandar, Sabah dan Sarawak, orang asli di Semenanjung malah di kawasan pinggir bandar.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SATU pelan tindakan komprehensif perlu dilaksanakan bagi menyelesaikan isu kehilangan masa belajar dengan segera.

Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kita harus khuatir dan memandang serius isu kehilangan masa belajar ini kerana ia akan menjejaskan perkembangan kognitif dan sosio-emosi anak-anak kita.

“Jika ia berterusan, ia akan menyebabkan kesan negatif yang berpanjangan kepada sektor pekerjaan, produktiviti dan kesenjangan pendapatan yang melebar dalam kalangan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata, Malaysia telah melangkah ke era endemik dalam konteks melawan COVID-19 sejak dari April 2022 lagi.

“Meskipun begitu, pelbagai kesan negatif masih lagi wujud, yang berpunca daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bersilih ganti. Antara sektor yang terkesan adalah sektor pendidikan dan proses pembelajaran dan pengajaran itu sendiri.

“Seperti contoh, lebih dari 40 peratus pelajar di Malaysia tidak berpeluang untuk melaksanakan kelas atas talian, terutama sekali di kawasan-kawasan luar bandar.

“Kesannya, akibat daripada 41 minggu penutupan sekolah-sekolah seluruh Malaysia, sebilangan besar anak-anak kita telah hilang masa belajar (learning losses) mereka.

“Fakta ini disokong oleh dapatan daripada Asian Development Bank (ADB) yang mengatakan bahawa, Malaysia mencatatkan kehilangan masa belajar yang terbanyak antara negara-negara membangun, iaitu pada kadar kehilangan 0.95 tahun (11.4 bulan).

“Selain itu, Bait Al Amanah dengan kerjasama Center for Market Education juga telah menganggarkan, jika fenomena kehilangan masa belajar ini berterusan, negara akan menanggung kerugian dalam konteks GDP sebanyak RM80 billion setahun, iaitu kerugian sebanyak RM464.26 sehingga RM1,121.95 seorang pelajar.

“Berdasarkan fakta tersebut, kita tidak boleh memandang enteng kesan daripada kehilangan masa belajar ini kepada struktur sosial dan ekonomi negara,”katanya.

Mengulas lanjut, sebagai cadangan atas isu tersebut Ahmad Zahid berkata, pertama, setiap pelajar perlu menjalani penilaian komprehensif bagi mengetahui tahap penguasaan pengetahuan dan jurang pengetahuan yang ada pada mereka.

“Ini termasuklah mengenalpasti kemahiran-kemahiran yang belum dikecapi dan apa yang perlu diajar bagi memperbaharui jurang pengetahuan yang ada.

“Kedua, program-program pengajaran harus dilaksanakan untuk mengejar semula silibus-silibus yang tertinggal dek kerana PKP dan mereka yang tidak dapat mengikuti kelas pembelajaran secara dalam talian.

“Selain itu, mereka yang tercicir dari mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran perlu lah dibawa kembali ke alam persekolahan,”katanya.

Dalam masa sama, Ahmad Zahid turut berpandangan isu yang dibangkitkan oleh Cikgu Fadli Salleh wajar dijadikan maklum balas yang bermanfaat dan janganlah dianggap sebagai ancaman dalam sistem pendidikan negara.

“Dalam konteks ini realiti zaman dan sifat realistik perlu ada.

“Bak kata Cikgu Fadli jangan hanya nak samakan silibus sahaja dengan zaman dan negara maju yang lain. Perlu juga samakan dengan aspek fasiliti, masa mengajar, kemudahan.

“Jangan kita terlalu ghairah mengambil contoh luar negara, sedangkan negara yang dicontohi itu tukar kepada sistem yang lain lebih berkesan.

“Apatah lagi acuan luar negara menekankan perlunya fasiliti, masa mengajar dan kemudahan untuk memberikan yang terbaik kepada semua pelajar.

“Kita perlu pertimbangkan isu pendidikan di luar bandar contohnya di Sabah dan Sarawak, orang asli di Semenanjung malah di kawasan pinggir bandar juga masih ada yang sukar mendapat akses interner yang memuaskan.

“Dalam konteks yang lebih besar, desentralisasi pendidikan amatlah penting bagi pihak sekolah mengadaptasi pelan pembelajaran dan pengajaran mereka kepada perubahan-perubahan pada tahap nasional.

“Ia juga akan menjadikan pihak sekolah lebih efektif dan efisien dalam menjalankan pelan pendidikan mereka menurut konteks, budaya dan sumber yang ada pada tahap tempatan,” katanya.

Ujar beliau, Malaysia perlu melaksanakan Universal Design for Learning (UDL) untuk menggantikan pendekatan yang terlalu berpusat.

“Ia bertujuan untuk membina fleksibiliti dan memudahkan sebarang perubahan mengikut konteks tempatan dan lokal dalam pelan pembelajaran dan pengajaran sekolah-sekolah,” katanya. – Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan