29.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Malaysia mahu kuasa veto Majlis Keselamatan PBB dihapuskan

Sebagai organisasi yang membawa semangat dan lambang demokrasi kepada dunia, PBB perlu kembali kepada landasan penubuhannya

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan lantang mendesak agar kuasa veto dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dihapuskan dan kembalikan organisasi dunia itu ke landasan penubuhannya.

Beliau yang mewakili Malaysia menyampaikan ucapan dalam bahasa Melayu di Persidangan Agung PBB (UNGA) di New York, awal pagi ini (waktu Malaysia) berkata, Majlis Keselamatan inilah yang menjadi masalah paling besar di PBB.

Menurut beliau, konflik dan krisis yang berlaku di dunia pada masa kini termasuk di Ukraine, Palestin dan Myanmar, tidak dapat diselesaikan akibat kepincangan sistem tadbir urus global dan PBB.

“Masalah yang paling besar di PBB adalah Majlis Keselamatan. Kuasa veto sering kali disalahgunakan untuk memihak kepada kuasa dunia yang memilikinya.

“Ia tidak demokratik dan melanggar prinsip hak asasi manusia. Ini menyebabkan konflik yang berlaku tidak dapat diselesaikan oleh mana-mana wakil tetap Majlis tersebut.

“Selaras dengan prinsip satu negara satu undi, sekarang adalah masanya kuasa veto dihapuskan. Sebagai organisasi yang membawa semangat dan lambang demokrasi kepada dunia, PBB perlu kembali kepada landasan penubuhannya,” kata beliau yang segak berbaju kebangsaan.

Ismail Sabri menjadi pemimpin Malaysia pertama yang berucap dalam bahasa Melayu di pentas persidangan antarabangsa PBB itu.

Mengenai Wilayah Palestin Yang Diduduki (OPT), Perdana Menteri berkata, Malaysia kecewa dengan pendudukan secara kejam oleh Israel yang berlarutan sejak sekian lama.

pm-unga
Ismail Sabri Yaakob berucap di Persidangan Agung PBB di New York, AS dalam bahasa Melayu.

Kata beliau, rakyat Palestin terus hidup dalam belenggu dasar-dasar diskriminasi Israel manakala penempatan haram semakin berleluasa.

“Ini bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, termasuk resolusi 2334 Majlis Keselamatan. Hak paling asas rakyat Palestin terus dinafikan,” katanya.

Justeru, kata Perdana Menteri, Malaysia menuntut agar kuasa-kuasa besar dunia bersikap jujur dalam menyelesaikan isu tersebut.

Advertisements

Beliau berkata, pendirian tegas harus diambil oleh PBB, bagi memastikan krisis yang telah berlarutan di bumi Palestin sejak sekian lama dapat diselesaikan segera.

“Apa yang berlaku hari ini, kebanyakan negara begitu cepat bertindak dalam kes yang berlaku di Ukraine.

“Malaysia mahu tindakan yang sama harus diambil bagi menyelesaikan isu di Palestin. Israel perlu berhenti menjadi sebuah entiti Apartheid!,” tegas beliau.

Mengenai situasi di Myanmar, Ismail Sabri berkata, Malaysia kecewa dengan situasi di Myanmar sejak tercetusnya rampasan kuasa pada bulan Februari 2021.

Amat mendukacitakan, tegas beliau, apabila Majlis Keselamatan tidak mengambil sebarang tindakan serius dalam menangani situasi di negara itu.

Malah katanya, ada yang melihat Majlis Keselamatan lepas tangan dan menyerahkannya kepada ASEAN.

Kata beliau, Malaysia juga kerana tiada kemajuan bermakna dalam pelaksanaan ‘Kesepakatan Lima Perkara’ ASEAN terutamanya oleh pihak junta Myanmar.

“Dalam acuannya sekarang, ‘Kesepakatan Lima Perkara’ ASEAN ini tidak boleh diteruskan lagi.

“Justeru, kesepakatan ini perlu diberi nafas baharu dan diperhalusi berdasarkan rangka kerja, jangka masa dan matlamat akhir yang lebih jelas. Sesungguhnya, yang lebih penting ialah aspirasi rakyat Myanmar perlu dipenuhi,” – Ismail Sabri

Perdana Menteri berkata, krisis politik di Myanmar juga telah memburukkan lagi keadaan berjuta-juta pelarian Myanmar termasuklah pelarian etnik Rohingya.

Katanya, walaupun Malaysia bukan negara yang menandatangani Konvensyen Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967, namun atas dasar kemanusiaan, Malaysia menerima hampir 200,000 pelarian Rohingya.

“Oleh demikian, adalah menjadi tanggungjawab kesemua negara, termasuk negara peserta konvensyen turut mengambil lebih ramai pelarian bagi ditempatkan di negara masing-masing.

“Pada masa yang sama, Malaysia amat menekankan peri pentingnya dunia menangani punca utama krisis Rohingya. Saya percaya bahawa isu ini tidak akan diselesaikan selagi krisis di negara tersebut berterusan,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan