31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Keluarga Malaysia tidak berada dalam ‘denial syndrom’

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh DATUK SYED MOHD FAZMI SAYID MOHAMMAD

SAYA membaca dengan teliti penulisan balas Ketua Setiausaha Sulit (KSUS) kepada Perdana Menteri Kelapan (PM-8), Datuk Dr Marzuki Mohamad yang merangkumi pelbagai hujah dan penafian kepada kenyataan melalui pertanyaan wartawan kepada saya sebelum ini.

Suka saya untuk berkongsi sedikit pandangan saya dan bukannya terperangkap dalam denial syndrom sepertimana tuduhan KSUS PM-8. Beberapa perkara yang harus kita teliti.

1. Jika kita mahu bercakap soal pemulihan negara pasca-pandemik dalam apa jua aspek kita harus melihatnya secara rasional dan tidak hanya terikat dengan satu tajuk ekonomi semata sehingga membandingkan peratusan pencapaian antara PM-8 dan PM-9.

Sektor ekonomi merupakan satu sektor atau tajuk besar yang selalu kita lihat dan menjadi ukuran kepada kedudukan negara kita.

2. PM-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil alih kerajaan semasa pandemik masih meruncing. Jumlah jangkitan masih tinggi dan kadar kematian juga mendukacitakan pada masa itu.

Semua aktiviti ekonomi zaman PM-8, Tan Sri Muhyidin Yassin ditutup. Peniaga tidak dapat menyara keluarga mereka. Ramai yang hilang punca pendapatan dan larangan pergerakan ketika itu menjerumuskan ramai rakyat kepada kesusahan.

Apabila Ismail Sabri mengambil alih tampuk pemerintahan negara, satu keputusan dan langkah berani atau boleh saya katakan ‘nekad’ dengan membuka sempadan dan aktiviti ekonomi berdasarkan nasihat setelah kadar vaksinisasi negara mencapai tahap memuaskan demi memastikan rakyat tidak lagi dikurung dan disekat untuk mereka mencari kembali punca pendapatan mereka melalui sektor-sektor tertentu.

Itulah yang dinamakan pemulihan ekonomi berbanding penguncupan ekonomi semasa pandemik. Kita boleh lihat di mana Pemulihan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang positif sebanyak 3.6 peratus bagi suku keempat 2021, 5.0 peratus pada suku pertama 2022, dan 8.9 peratus bagi suku kedua 2022 (pertumbuhan tertinggi di Asia Tenggara bagi tempoh tersebut) berbanding KDNK ketika PM-8 yang berada pada tahap (mengucup) -5.6 peratus (negatif) pada tahun berakhir 2020. Sepertimana Laporan Rasmi Kementerian Kewangan.

Semua negara di dunia masih bergerak ke arah pemulihan ekonomi tetapi Malaysia berjaya mengekang dari berlakunya pengucupan ekonomi yang jauh lebih parah apabila sempadan dan pergerakan rakyat terus ditutup ala DARURAT.

3. Saya tidak menyangkal fakta ekonomi sepertimana dimaksudkan oleh KSUS PM-8. Banyak syarikat terpaksa memberhenti pekerja atau mengecilkan operasi kerana tiada permintaan.

Menjadi kebiasaan apabila kita baharu kembali beroperasi dan memerlukan masa untuk mengembalikan operasi dengan kadar yg semaksimum mungkin.

Saya juga tidak menafikan ada pekerja sebelum itu diberhenti atau direhatkan tetapi apabila banyak syarikat dan perusahaan memulakan kembali operasi mereka, kebanyakan syarikat-syarikat terutama yang bertaraf SME mengambil pekerja dengan tangga gaji yang baru demi untuk memastikan operasi berjalan lancar.

“Tidaklah kita kata kita berada dalam denial syndrome tapi kerajaan pimpinan PM-9 berusaha keras untuk memastikan Keluarga Malaysia terus dibela termasuk melibatkan aspek kebajikan.”

4. Saya tak kata kajian Merdeka Centre atau Ilham Centre salah tetapi saya menekankan bahawa sebelum ini kajian Merdeka Center menyatakan Barisan Nasional (BN) akan menang Pilihan Raya Umum K-Ke-14 (PRU-14) yang lalu dengan mendahului 100 kerusi berbanding Pakatan Harapan (PH), 83 kerusi dan akhirnya kita tahu BN tewas dalam PRU-14 lepas.

Begitu juga Ilham Center juga membuat kajian ketika itu dan membuat jangkaan yang tidak tepat apabila kajian Ilham Center menunjukkan BN mampu merampas Kelantan daripada Pas selain mengekalkan penguasaan di Terengganu dalam PRU-14.

Sebaliknya berlaku bila Pas menang di Kelantan dan Terengganu. Kajian sepertimana diketahui bersifat berubah-ubah variable. Itu tidak lagi kita mengambil kira tujuan kajian tersebut dan siapa yang membiayai kajian yang dibuat. Kita semua faham dalam bab ini.

5. Saya juga melihat dalam pelbagai laporan sepertimana cadangan KSUS PM-8 yang pasti menjadi rujukan dalam saya menjalankan tugas di Pejabat Perdana Menteri. Saya meneliti laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang juga menjadi rujukan Marzuki ketika beliau menjawat jawatan di Pejabat Perdana Menteri sebelum ini.

Kadar pengangguran negara menurun pada April 2022 iaitu 3.9 peratus berbanding 4.1 peratus pada bulan sebelumnya. Bilangan rakyat bekerja juga mengukuh dengan peningkatan sebanyak 0.4 peratus bulan ke bulan kepada 16.50 juta orang berbanding 16.44 juta orang pada Mac. Ini juga indikator yang tidak boleh dinafikan dan disorok.

Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA) menyemak naik kadar pertumbuhan tahunan industri runcit negara bagi tahun 2022 kepada 13.1 peratus daripada 6.3 peratus sebelum ini berikutan unjuran prestasi lebih kukuh dalam suku kedua 2022. Apakah ini juga fakta yang mahu disorok atau tidak diambil kira oleh Marzuki?

Dengan kadar Inflasi 4.4 peratus jauh rendah dari negara-negara lain kerana subsidi mengekang kenaikan harga misalnya tarif elektrik dan petrol merupakan inisiatif kerajaan yang berterusan demi memastikan rakyat kurang terbeban dan terkesan hasil dari krisis dunia yang mana telah dirasai oleh negara-negara luar tertentu termasuk negara maju seperti Amerika Syarikat(AS) dan United Kingdom.

Akhirulqalam…

Apa yang boleh kita katakan ialah Kerajaan Keluarga Malaysia tidak hanya memeluk tubuh atau berdiam diri tidak melakukan apa-apa dalam menangani krisis ekonomi yang bakal melanda banyak negara.

Kerajaan berusaha mencari jalan dan kaedah terbaik untuk meminimumkan kesannya dan seharusnya menjadi tanggungjawab kepada semua pihak kepimpinan dalam kerajaan mahupun pembangkang untuk melihat isu dan krisis ini secara bersama dan bukannya melihat dari sudut politik kepartian semata.

Menuding jari dan menuduh kerajaan hari ini “gagal” bilamana PM-8 masih menjawat jawatan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara dan ditambah dengan jumlah Menteri Kabinet dari PPBM yang masih berada dalam kerajaan hanya akan mengheret satu lagi episod kepada kecamukan politik yang akhirnya boleh membawa kepada ketidakstabilan politik yang pernah berlaku sebelum ini.

Usaha menstabilkan politik telah berjaya dicapai sehingga hari ini dan ianya harus dikekakan demi memastikan setiap usaha kerajaan tidak terjejas dan terbantut.


  • Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad merupakan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri. Tulisan ini dipetik daripada Facebook beliau.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan