24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Tangani kos sara hidup, peruntukan RM77 bilion disalurkan tahun ini

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN terus memberikan komitmen dalam membantu rakyat Keluarga Malaysia untuk menangani kenaikan kos sara hidup, dengan meningkatkan peruntukan subsidi kepada lebih RM77 bilion berbanding peruntukan asal sebanyak RM31 bilion bagi tahun 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah ini, RM1.1 bilion diperuntukkan kepada subsidi ayam dan telur.

“Tindakan Kerajaan untuk memberi subsidi ayam ini menunjukkan kesungguhan Kerajaan untuk membantu rakyat kerana inilah pertama kali subsidi ayam diberikan bagi memastikan bekalan ayam pulih.

“Sekarang kita melihat hasilnya di mana harga telah mula stabil. Melalui cerapan data harga mingguan Kerajaan mendapati kesan positif kerana harga sebenarnya berada di bawah harga kawalan RM9.40 bagi Semenanjung Malaysia.

“Harga purata nasional mingguan sehingga 9 Julai 2022 adalah RM9.22 dan negeri Pahang merekodkan harga terendah iaitu sebanyak RM8.95.

“Hasilnya, kini pengguna telah mula mendapat manfaat manakala penternak dan peniaga ayam juga berpuas hati kerana mereka sudah boleh berniaga seperti biasa,”katanya menjawab pertanyaan lisan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Port Dickson) dalam Dewan Rakyat Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas 2022, di sini.

Perdana Menteri berkata, Kerajaan juga dijangka membelanjakan subsidi minyak masak polibeg 1 kilogram (kg) dengan peruntukan sehingga RM4 bilion pada tahun ini.

“Jumlah ini naik secara mendadak berbanding keperluan pada tahun 2020 iaitu RM500juta dan 2021 sebanyak RM2.1bilion,”katanya.

Jelas Ismail Sabri, berkenaan subsidi minyak botol yang dihentikan, sebenarnya, subsidi ini diberikan bermula pada Ogos 2021 bertujuan untuk mengurangkan bebanan rakyat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Advertisements

“Pada perancangan Kerajaan, subsidi ini hanya sehingga Disember 2021 kerana kita telah berjanji untuk membuka semula aktiviti ekonomi secara berperingkat dalam Pelan Pemulihan Negara.

“Namun, Kerajaan amat prihatin dengan perkembangan trend minyak sawit mentah atau CPO yang naik secara konsisten disebabkan permintaan dunia yang telah mula membuka aktiviti ekonomi.

“Atas sebab ini, Kerajaan telah melanjutkan pelaksanaannya sehingga Jun 2022 dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM382 juta bagi melaksanakan program subsidi minyak botol ini,”katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menepis mengenai isu Kerajaan tidak membantu rakyat kerana subsidi minyak masak polibeg 1 kg masih lagi diberikan malahan telah ditambah.

“Kerajaan juga telah melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) dengan peruntukan sebanyak RM100 juta. Program ini mendapat sambutan yang amat baik bukan sahaja daripada rakyat tetapi juga daripada semua Ahli Parlimen dan pihak Kerajaan Negeri.

“Justeru, Kerajaan sedang memperinci pelaksanaan PJKM untuk diperhebat dan diperluaskan kepada lebih 600 kawasan Dewan Undangan Negeri.

“Jualan PJKM melibatkan penurunan sehingga 15 peratus namun ada kalanya penurunan tersebut lebih daripada itu,”katanya.

Selain daripada itu katanya, bagi terus membantu rakyat Keluarga Malaysia, Kerajaan juga telah menambah nilai Bantuan Keluarga Malaysia kepada lebih kurang sembilan juta penerima sebanyak RM100 bagi isi rumah serta RM50 bagi individu bujang.

“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, terdapat pelbagai lagi program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan bagi membantu rakyat Keluarga Malaysia. Meskipun kita tidak dapat menghalang kenaikan harga barangan sepenuhnya kerana ia adalah disebabkan faktor inflasi global, namun, impaknya dapat dikurangkan dengan pelaksanaan strategi-strategi yang telah dirangka oleh Kerajaan,”katanya.-Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan