26.2 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

JAKM Sabah rekod RM6.47 juta jualan

Sambutan di luar jangkaan dengan kehadiran melebihi 24,198 Keluarga Malaysia sepanjang tiga hari program berkenaan.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEBANYAK RM6.47 juta jualan dan potensi perniagaan berjaya direkodkan pada penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Negeri Sabah yang berlangsung pada 20 hingga 22 Mei lalu.

Sekretariat Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia berkata, JAKM turut menyaksikan sambutan di luar jangkaan dengan kehadiran melebihi 24,198 Keluarga Malaysia sepanjang tiga hari program berkenaan.

Kenyataan itu berkata, Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia yang telah menawarkan sebanyak 5,000 pelbagai kekosongan jawatan daripada 40 majikan turut memberi khabar berita yang baik bagi pemohon kerja.

Katanya, seramai 459 orang peserta telah dipanggil menghadiri temu duga, 148 orang telah berjaya ke tapisan akhir dalam jawatan yang dipohon setakat ini dan 139 orang telah berjaya ditawarkan pekerjaan.

“Penganjuran jelajah ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk menyumbang kepada rakyat melalui penganjuran program yang berfokuskan kepada kemudahan perkhidmatan secara langsung sekaligus menjamin keharmonian serta kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia,” kata kenyataan itu hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa majlis perasmian pada 20 Mei lalu telah mengumumkan berita gembira khususnya untuk Keluarga Malaysia Sabah.

Antaranya ialah mengenai komitmen kerajaan untuk membasmi kemiskinan melalui Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) dengan 10 lokaliti di Sabah telah dikenal pasti di bawah fasa pertama program tersebut.

Turut diumumkan, penubuhan sebuah jawatankuasa peringkat Persekutuan bagi membincangkan mengenai kepentingan Sabah, pengukuhan keselamatan perairan negeri serta kemudahan urusan pembaharuan Pas Menyeberangi Sempadan atau Pas Lintas Batas, Pas Lawatan Jangka Panjang dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

“Sepanjang tempoh tiga hari penganjuran, pelbagai program menarik dan bermanfaat telah disediakan bertujuan untuk memupuk penghayatan rakyat terhadap pengertian Aspirasi Keluarga Malaysia.

Advertisements

“Antaranya penerangan dan tawaran perkhidmatan langsung kerajaan, sesi bimbingan usahawan serta pemberian bantuan dan insentif,” katanya.

Selain itu, sebanyak 27 reruai (booth) kaunter perkhidmatan telah mengambil bahagian pada siri JAKM kali ini melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan Negeri.

Pada masa yang sama, kata sekretariat itu, pelbagai kaunter perkhidmatan bergerak antaranya seperti dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ Mobile), Pusat Keluarga Bergerak (PKB), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Klinik Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia, telah disediakan kepada Keluarga Malaysia yang hadir.

Penglibatan 181 gerai jualan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan program padanan perniagaan dalam siri jelajah ini turut merancakkan aktiviti ekonomi terutamanya bagi usahawan tempatan.

Jualan Keluarga Malaysia turut diadakan dengan tawaran potongan harga lebih rendah daripada harga pasaran bagi barangan keperluan harian selain program seperti Zikir Berkah D’Kinabalu, pertandingan e-sukan (e-sports), sukan rakyat, Pertandingan Bintang Patriotik dan banyak lagi.

JAKM yang dicetuskan daripada ilham Perdana Menteri, adalah kesinambungan daripada kejayaan program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 hingga 12 Disember 2021 lalu.

Negeri Sabah merupakan lokasi ketiga bagi siri JAKM selepas di Johor dan Perlis.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) adalah kementerian peneraju bagi jelajah ini yang dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah selaku tuan rumah dan Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) merupakan penyelaras utama bagi kesemua 14 siri Jelajah termasuk satu penutup di Putrajaya.

Siri jelajah ini akan diteruskan di seluruh negara dengan segmen perkhidmatan yang sama bagi memenuhi keperluan rakyat dan membantu penghayatan terhadap pengertian Aspirasi Keluarga Malaysia yang menitikberatkan nilai Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.-Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan