27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

CIMB, IRM santuni 1,500 keluarga di tujuh negeri

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

ATAS dasar keprihatinan serta mengambil keberkatan sempena bulan Ramadan, CIMB Islamic Bank (CIMB) telah menyumbangkan dana sebanyak RM300,000 kepada Islamic Relief Malaysia (IRM) bagi menyokong kempen Rezeki Ramadan.

Menerusi kolaborasi strategik ini, seramai lebih 7,500 orang daripada 1,500 buah keluarga telah mendapat manfaat daripada tajaan pek makanan Rezeki Ramadan.

Ia melibatkan golongan asnaf, ibu tunggal dan kumpulan B40 yang tinggal di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Perak, Sabah dan Sarawak.

Setiap keluarga dibekalkan dengan satu kampit beras 10 kilogram bersama satu kotak makanan mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, tepung, minyak masak, kurma, gula, uncang teh dan lain-lain.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia Bahagian Operasi, Siti Fadilah Mohd Hood berkata, Islamic Relief Malaysia sangat berbesar hati kerana dapat menjalinkan kolaborasi bersama CIMB Islamic Bank dalam usaha meringankan beban golongan rentan untuk menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan pada tahun ini.

“Kami sentiasa terbuka untuk menjalinkan usaha sama dengan mana-mana pihak kerana tanggungjawab membantu golongan rentan merupakan satu tugas besar dan memerlukan sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Selaku NGO pelaksana juga, kami sangat gembira apabila menerima respon baik daripada wakil-wakil kakitangan CIMB Islamic Bank yang turut serta turun padang, di mana mereka berpuas hati terhadap kelompok sasaran yang kami kenalpasti dan cadangkan sebagai penerima tajaan pek makanan ini,”katanya.

Beliau berkata, pendekatan yang digunakan Islamic Relief Malaysia menerusi kepelbagaian lokasi edaran serta capaian bantuan yang meluas di tujuh negeri di bawah tajaan CIMB Islamic Bank diharapkan dapat memberi nilai tambah baik bukan sahaja kepada penaja, tetapi pastinya untuk kebaikan para penerima manfaat yang menjadi matlamat asal kerjasama ini dijalinkan.

Sumbangan pek makanan Rezeki Ramadan tajaan CIMB Islamic Bank telah mula diedarkan di Tuaran, Sabah pada 24 Mac 2022, manakala di Semenanjung, edaran bermula di Jempol, Negeri Sembilan pada 27 Mac 2022.

Lokasi terakhir edaran pula dijalankan di Sematan, Sarawak pada 16 April lalu.

Sementara itu, seorang penerima manfaat pek makanan Rezeki Ramadan di Kamunting, Perak, Zaitom Mohd Razali berkata, sejak suaminya meninggal dunia dua tahun lalu, mereka berdepan dengan kesempitan hidup.

“Kami pernah terputus bekalan makanan sampai makcik terpaksa minta bantuan di kedai runcit dekat dengan rumah. Walaupun kedai runcit tu milik orang Cina, tetapi dia tetap bantu makcik. Rasa terharu sangat masa tu.

“Makcik ni dah biasa hidup susah. Cuma sekarang makcik kesian dengan cucu-cucu makcik yang masih kecil. Terima kasih banyak-banyak kepada CIMB Islamic Bank dan Islamic Relief Malaysia yang bantu makcik bagi sumbangan pek makanan ini.

“Bagaimanapun, semoga dengan adanya bantuan ini, sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami sekeluarga,”katanya yang turut diuji dengan penyakit tiroid dan batuk berdarah selain pernah menghidap barah payudara. – Edisi 9

Terkini

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu...

Lagi Artikel Berkaitan