28.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

CEO antara 8 ditahan kes rasuah projek GLC lebih RM2.3 bilion

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KETUA  Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat dan pemilik syarikat antara lapan individu ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan projek-projek milik sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan nilai kontrak dianggarkan melebihi RM2.3 bilion.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mereka disyaki  terlibat dalam perlakuan rasuah dalam projek-projek GLC berkenaan antara 2017 hingga 2021.

Sumber itu berkata, CEO tersebut bersama lima yang lain ditahan di ibu pejabat SPRM di sini manakala dua lagi termasuk seorang pemilik syarikat ditahan di SPRM Sarawak semalam, selepas hadir memberikan keterangan berhubung kes berkenaan.

SPRM hari ini membuat permohonan reman terhadap enam individu di Mahkamah Majistret Putrajaya di Putrajaya dan dua individu di Mahkamah Majistret Kuching, Sarawak.

CEO itu dan seorang lagi individu ditahan reman selama empat hari bermula hari ini manakala empat lagi direman lima hari selepas permohonan reman itu dibenarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Sementara di Mahkamah Majistret Kuching, Majistret Zubaidah Sharkami membenarkan permohonan reman lima hari terhadap pemilik syarikat, dan reman dua hari terhadap seorang pengarah syarikat kejuruteraan.

Susulan penahanan itu, sumber SPRM itu berkata 12 akaun syarikat dan individu dibekukan selain beberapa sitaan dilakukan antaranya melibatkan 10 kenderaan mewah, pelbagai mata wang tunai, jongkong emas, jam tangan mewah dan beg tangan mewah.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim yang mengesahkan penahanan tersebut berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009. – Bernama

Terkini

Stoking kalimah Allah: KK Mart akan dipanggil bantu siasatan

POLIS akan memanggil pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan beberapa individu lain bagi membantu...

Lagi Artikel Berkaitan