26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Lamborghini berhenti di lebuh raya disiasat di bawah akta rusuhan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

POLIS telah menerima satu laporan berhubung video tular di laman sosial berkenaan kejadian sekumpulan konvoi memberhentikan kenderaan di kilometer 34, Lebuh Raya Utara Selatan, berhampiran susur keluar Tol Sedenak, Johor.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan berlaku pada 18 Mac kira-kira pukul 6.10 petang.

Menurutnya, video tular berkenaan membabitkan pelanggaran di antara pacuan empat roda jenis Ford Ranger dan Lamborghini.

“Pemandu pacuan empat roda yang cuba memotong konvoi kenderaan Lamborghini secara zig-zag telah menyebabkan pelanggaran dengan salah satu kenderaan mewah berkenaan ketika cuba memasuki lorong kiri.

“Disebabkan pelanggaran tersebut, kumpulan konvoi Lamborghini tidak berpuas hati dan berhenti di tengah lebuh raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beng Yeow berkata, susulan itu berlaku perselisihan faham di antara pemandu pacuan empat roda dan kumpulan konvoi kenderaan Lamborghini di lokasi kejadian.

Ekoran itu menurut beliau, polis telah menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Menurutnya, jika sabit kesalahan bagi merusuh, individu bakal berhadapan hukuman dua tahun penjara atau denda.

“Manakala, jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987, individu boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM15,000.

Terdahulu tular di media sosial sejak semalam sebuah video yang menunjukkan sekumpulan kereta mewah berhenti di tengah-tengah jalan sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas di tengah-tengah lebuhraya.

Menerusi perkongsian di TikTok, Facebook dan juga Twitter, pemandu Ford Ranger berwarna putih telah memandu secara merbahaya dan melanggar sebuah kereta.

-EDISI9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan