32.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

6 kali amaran cuaca MET Malaysia tidak diendahkan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, enam kali amaran Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) berhubung cuaca signifikan yang boleh menyebabkan hujan lebat berterusan tidak diendahkan oleh sesetengah pihak terlibat dalam pengurusan bencana.

Menurut beliau, sikap mengendahkan amaran MET Malaysia itu terjadi kerana wujudnya andaian hanya negeri-negeri di Pantai Timur sahaja akan terjejas akibat banjir dibawa oleh hujan lebat berterusan disebabkan luruan monsun.

“Persediaan bagi menghadapi musim tengkujuh juga lebih banyak tertumpu kepada negeri-negeri di Pantai Timur.

“Bagaimanapun, banjir luar biasa di Selangor yang berlaku ini adalah di luar jangkaan banyak pihak,” katanya semasa Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.

Perdana Menteri berkata, banjir di Selangor yang bermula pada 18 Disember akibat jumlah purata taburan hujan luar biasa iaitu 380 milimeter (mm) pada hari tersebut yang menyamai jumlah purata taburan hujan bagi tempoh sebulan.

Jelas beliau, pada masa yang sama kejadian air pasang menyebabkan keadaan banjir di negeri itu bertambah buruk.

“Berikutan keadaan banjir luar biasa yang tidak disangka itu, situasi kelam-kabut berlaku pada hari pertama pengurusan banjir di Selangor mengakibatkan pasukan penyelamat menghadapi kesukaran menjalankan operasi kerana berlakunya kompleksiti banjir bandar.

“Malah pengurusan banjir di Selangor masih tidak menunjukkan perubahan yang ketara pada hari kedua dan ketiga sehingga menyebabkan ketidakpuasan hati mangsa-mangsa berikutan kelewatan operasi menyelamat dan penghantaran bantuan,” jelasnya

Advertisements

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, anggota keselamatan terdiri daripada PDRM, JBPM, ATM dan APM telah menggerakkan anggota masing-masing untuk membantu mangsa banjir di Selangor sejak petang 18 Disember lagi.

Bagaimanapun, pasukan tersebut namun menghadapi kesukaran kerana suasana yang semakin gelap dan terdapat ramai mangsa yang masih enggan meninggalkan kediaman mereka ketika itu.

Ini ditambah dengan keadaan banjir yang berlaku melebihi kemampuan anggota penyelamat selain negeri Selangor jarang berdepan dengan masalah banjir luar biasa.

“Biarpun amaran hujan berterusan telah dikeluarkan, impak taburan hujan yang tinggi ini, sangat tidak diduga oleh semua pihak.

“Sebagai contoh, meskipun penduduk di Taman Sri Muda, Shah Alam
sudah biasa berdepan banjir kilat akibat hujan lebat namun mereka
tidak menyangka air akan naik begitu cepat dan tinggi pada kali ini,” katanya.

Ismail Sabri berkata, agensi penyelamat juga menghadapi kesukaran mendapatkan kerjasama penduduk untuk berpindah dengan segera.

Kata beliau, rata-rata mangsa memberikan alasan hendak menyelamatkan harta benda, jarak pusat pemindahan sementara (PPS) yang agak jauh dari rumah, bimbang rumah dimasuki pencuri serta bimbang risiko jangkitan COVID-19.

“Berikutan itu, apabila paras air naik secara mendadak, ramai penduduk terperangkap dan memerlukan pertolongan segera,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan