24.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Muhyiddin kota janji sediakan kontena untuk mangsa banjir

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengotakan janjinya untuk menyediakan kontena sebagai kediaman sementara kepada dua keluarga mangsa banjir.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, kedua-dua keluarga terbabit kehilangan kediaman mereka selepas dibawa arus dalam kejadian banjir besar baru-baru ini.

Beliau berkata, pemberian dua unit kontena yang diumumkan beliau semalam akan dijadikan penempatan sementara bagi dua-dua keluarga terbabit di Kampung Jawa, Shah Alam dan Kampung Sungai Lui, Hulu Langat.

“Satu unit kontena sudah dihantar petang semalam dan satu lagi hari ini.

“Saya berharap sumbangan ini dapat meringankan sedikit beban kepada keluarga terbabit yang kehilangan tempat berlindung dalam sekelip mata minggu lalu,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.

Semalam, Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara.

Beliau berkata, peruntukan RM1 juta yang diumum semasa Perhimpunan Agung Bersatu pada 29 Disember lalu sudah habis digunakan untuk menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada mangsa.

Advertisements

Katanya, melihat keperluan mangsa banjir yang amat terdesak, beliau telah berjaya mendapat dana tambahan RM1 juta lagi hasil sumbangan beberapa dermawan menerusi Tabung Bencana Banjir Bersatu.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, Skuad Prihatin Bersatu akan meneruskan misi bantuan kepada mangsa banjir di seluruh negara.

“Tumpuan kini diberikan kepada kerja-kerja membersihkan rumah mangsa banjir serta penyaluran bantuan berupa barangan makanan harian, peralatan keperluan dapur serta barangan bayi dan kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin turut mengajak masyarakat membantu mangsa banjir membina kembali kehidupan mereka selepas bencana alam itu berakhir.

“Sekali lagi saya menyeru, marilah sama-sama kita membantu dan menyumbang dalam apa cara cara dan bentuk sekalipun yang termampu bagi membantu mangsa bancana alam ini membina kembali kehidupan mereka terutama selepas banjir berakhir.

“Kepada sukarelawan dan petugas barisan hadapan, teruskan kerja murni ini. Insya-Allah anda semua akan dilindungi dan diberkati Allah SWT,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan