28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Curi kenderaan tersadai banjir, pasukan Cantas PDRM digerakkan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PASUKAN Cantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini digerakkan bagi menangani masalah kecurian kenderaan di kawasan yang dilanda banjir.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia susulan aduan diterima berhubung kejadian kenderaan mangsa banjir yang tersadai, dicuri pihak tertentu, termasuk menggunakan trak tunda.

“Justeru, kita membentuk dan menggerakkan Pasukan Cantas terdiri daripada pegawai serta anggota polis di lapangan bagi kawasan terjejas teruk akibat banjir di seluruh negara.

“Selepas Pasukan Cantas dapat mengesan dan menangkap mereka yang mencuri kenderaan tersadai, individu terbabit akan diheret ke muka pengadilan dengan tindakan sangat tegas.

“Pasukan ini bukan dikerahkan ke satu dua kawasan saja, tetapi di semua tempat terutama yang ada kereta mangsa banjir di negeri terjejas. Fokus anggota keselamatan kami ialah membantu mereka yang menghadapi masalah di kawasan banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Datuk Razarudin Husain sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu, menggantikan Datuk Seri Mazlan Lazim yang akan bersara wajib pada 25 Disember ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Hamzah menasihati orang awam untuk membuat laporan polis membabitkan kejadian curi, termasuk pecah masuk kedai seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Advertisements

“Saya juga mahu menasihati mereka yang mengambil kesempatan mencuri ini. Ingatlah orang berada dalam keadaan sengsara akibat musibah, kamu janganlah menambah kesengsaraan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan banjir di Hulu Langat, Hamzah berkata, PDRM membuka sebuah markas taktikal di Hulu Langat, Selangor, bagi memudahkan pengurusan mangsa banjir di daerah berkenaan ketika ini.

Menurutnya, kementerian itu mencapai persetujuan bersama Acryl Sani untuk menubuhkan markas berkenaan selepas ramai penduduk dan mangsa banjir memaklumkan tidak ada pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan terbabit.

Tambahan pula, beliau berkata, ada sesetengah kawasan di Hulu Langat sukar diakses kerana terletak di pedalaman.

“Markas taktikal ini diwujudkan sebagai pusat operasi di lapangan, dengan pegawai pemerintah akan bertindak mengkoordinasi dan menyelaraskan operasi bantuan semua unit dari dalam dan luar.

Beliau berkata, markas berkenaan juga akan mempertingkat serta memperkasakan operasi kerja pembersihan, selain membantu dan menjaga kebajikan mangsa banjir.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan