25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Op Hiburan: 147 individu termasuk wanita warga asing ditahan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SERAMAI 147 individu termasuk seorang wanita warga asing ditahan polis dalam serbuan Op Hiburan yang dilakukan di sebuah pusat hiburan di Taman Ekoflora, Johor Bahru, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik bersama Team Taskforce Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS telah membuat serbuan dan pemeriksaan di premis itu, sekitar 10.30 malam.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut, polis menahan 51 wanita tempatan, 95 lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing. Seorang daripada lelaki tempatan mengaku bekerja sebagai penjaga premis.

“Semakan rekod terhadap wanita warga asing yang ditahan itu mendapati berkahwin dengan seorang lelaki tempatan dan dokumen pengenalan diri masih sah.

“Kesemua yang ditahan berusia 18 hingga 53 tahun itu didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), selain premis beroperasi tanpa lesen yang sah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Advertisements

Katanya, dalam serbuan itu, leralatan yang dirampas antaranya tiga resit perniagaan, satu mikrofon bertulisan Duretes, satu sound mixer jenama Alto Professional dan satu profesional Power Amplifier.

“Kesemua yang ditahan dikenakan kompaun mengikut peraturan 17 (1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana melanggar SOP Fasa 4 PPN yang mana penjaga premis dikompaun RM25,000, manakala setiap seorang pelanggan premis dikompaun RM5,000.

Beliau berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 6 (2) Enakmen Negeri Johor.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi SOP ditetapkan dan sekiranya terdapat pelanggaran yang dilakukan tindakan tegas akan diambil.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah dinasihatkan untuk menyalurkan maklumat kepada polis IPD Johor Bahru Selatan di talian hotline 07-2182323 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan