30.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 8, 2024

Tidak ada kerajaan perpaduan – Ismail Sabri

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SUNGAI PETANI – “Tidak ada kerajaan perpaduan yang melibatkan parti pembangkang, dan kerjasama bukan semestinya dalam Kabinet sebaliknya bersama membantu kerajaan selesaikan isu paling besar negara iaitu COVID-19 dan pemulihan ekonomi,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Perdana Menteri, pemimpin pembangkang, dipelawa menyatakan pandangan mereka untuk membantu kerajaan dengan menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.

“Tidak ada kerajaan perpaduan yang melibatkan pembangkang dalam Kabinet, tetapi kerjasama itu bukan semestinya pembangkang berada dalam Kabinet.

“Kalau nak bantu tangani COVID-19, kita ada Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19, boleh bersama dalam jawatankuasa ini.

“Kalau nak selesai isu ekonomi, mereka boleh bersama dalam Majlis Pemulihan Negara, saya jemput mereka berada bersama,” katanya dalam sidang media selepas membuat lawatan kerja rasmi pertamanya ke daerah Kuala Muda dan Yan, di sini.

Dalam masa sama, beliau menarik nafas lega selepas pihak pembangkang memberikan maklum balas yang positif.

“Insya-Allah saya akan berjumpa dengan mereka untuk bincang apa yang boleh dan mereka nak tahu apa peranan,”katanya.

Advertisements

Semalam, dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri kesembilan, Ismail Sabri menawarkan ruang kepada pemimpin pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.

Sementara itu, dalam lawatannya itu, Ismail Sabri turut mengumumkan peruntukan segera berjumlah RM75juta bagi membaik pulih infrastruktur dan perkara-perkara berkaitan berikutan bencana yang dihadapi di daerah Yan dan Merbok.

Turut disalurkan bantuan RM500 bagi setiap individu yang terkesan akibat bencana dan sebanyak RM5,000 bagi kematian menerusi agensi pengurusan bencana negara (NADMA).

Ismail Sabri berkata, beliau berharap dengan peruntukan yang diberikan kepada Kerajaan Negeri Kedah ini dapat membantu untuk memulihkan infrasturktur dan sistem saliran yang terkesan dengan kadar segera.

“Saya mahu melihat pembaikan baik pulih dapat disegerakan. Jika dilewatkan akan menjejaskan penduduk sekitar kerana turut melibatkan loji dan sebagainya.

“Kalau jalan rosak, jambatan tidak boleh digunakan, akan jejaskan kehidupan penduduk. Tidak mahu perkara-perkara yang menyukarkan dan perlu pastikan kebajikan tidak terjejas,”katanya.- Edisi 9

Advertisements

Terkini

10 mahasiswa UM sertai program selamatkan sayur-sayuran

SERAMAI 10 mahasiswa Asasi Sains Sosial dari Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) telah menyertai program menyelamatkan sayur-sayuran dan...

Lagi Artikel Berkaitan