24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Sidang Parlimen hibrid akhir Ogos atau awal September

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Sidang Parlimen secara hibrid dijangka boleh diadakan sekitar akhir Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama September ini.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, Parlimen Malaysia berpendapat bahawa langkah spesifik perlu diambil bagi mengelakkan penyebaran wabak COVID-19 secara meluas akibat daripada persidangan Parlimen.

Menyedari hakikat ini, kata mereka, Parlimen Malaysia berhasrat untuk menyediakan kemudahan persidangan alternatif yang diharapkan dapat mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19 ketika persidangan Parlimen diadakan kelak untuk pertimbangan kedua-dua dewan.

“Dengan tujuan ini, Jawatankuasa Khas Pemandu Persidangan Parlimen Secara Hibrid yang dipengerusikan bersama oleh Yang Dipertua Dewan Negara dan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan dianggotai oleh Timbalan-timbalan Yang Dipertua dan Setiausaha kedua-dua Dewan serta pihak urus setia Parlimen Malaysia di bawah pimpinan Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia telah ditubuhkan.

“Jawatankuasa Khas telah pun mengkaji dan meneliti aspek teknologi dan metodologi penjalanan persidangan hibrid dan telah mencadangkan untuk diadakan persidangan Dewan Negara dan Dewan Rakyat secara hibrid.

“Secara umumnya, persidangan hibrid ini melibatkan kehadiran fizikal sekurang-kurangnya 26 Ahli Dewan Rakyat untuk menepati kehendak korum di Dewan Rakyat dan 10 Ahli Senator di Dewan Negara dan yang selebihnya mempunyai pilihan sama ada untuk hadir secara fizikal, tertakluk kepada apa-apa syarat mesyuarat yang dikenakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) ataupun Kementerian Kesihatan pada masa persidangan ataupun maya,” kata mereka dalam kenyataan media bersama, hari ini.

Rais dan Azhar Azizan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 16 Jun lalu agar sidang Parlimen diadakan segera.

Mereka menambah, menjunjung titah Seri Paduka agar diadakan persidangan secepat mungkin dan mengambil maklum komitmen dan kuasa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Ketua Majlis untuk menetapkan tarikh persidangan, Jawatankuasa Khas tersebut memberi komitmen untuk melakukan segala yang terdaya supaya kemudahan persidangan hibrid ini dapat disediakan seberapa segera yang mungkin.

Advertisements

“Namun, sedikit tempoh diperlukan untuk persidangan Parlimen secara hibrid ini dijayakan kerana beberapa persiapan dari aspek perundangan, pentadbiran, teknikal, perolehan, bekalan serta latihan perlu diperkemaskan terlebih dahulu untuk memastikan pelaksanaannya berjalan dengan lancar.

“Hal-hal persiapan ini telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri selaku Ketua Majlis semalam dan telah mendapat kerjasama serta galakan yang amat baik,” jelasnya.

Rais dan Azhar Azizan memberitahu, Jawatankuasa Khas tersebut menjangka bahawa semua aspek perundangan dapat diselesaikan pada akhir Julai sekiranya perkara ini diluluskan di peringkat Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat.

Menurut mereka, dengan andaian itu, adalah dicadangkan agar satu sidang khas Parlimen diadakan pada awal Ogos tertakluk kepada syarat-syarat ketat pencegahan penularan COVID-19 yang dikuatkuasakan MKN dan Kementerian Kesihatan.

“Sesi Sidang Khas ini penting untuk memastikan semua Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perincian mengenai hal-hal resolusi yang diperlukan untuk diterima pakai berkaitan perancangan mengadakan sidang Parlimen secara hibrid merangkumi beberapa pindaan ke atas Peraturan Mesyuarat, takrif-takrif persidangan maya, penyelarasan tanggungjawab Ahli Parlimen serta perkara-perkara teknikal yang berkaitan,” kata mereka.

Rais dan Azhar Azizan berkata, sekiranya cadangan itu diterima oleh kedua-dua dewan, sedikit masa lagi diperlukan oleh Parlimen Malaysia untuk memperoleh bekalan, mengintegrasikan sistem persidangan hibrid dengan sistem sedia-ada, ujian pentauliahan dan juga latihan kepada petugas dan juga Ahli-ahli Parlimen.

“Kedua-dua Yang Dipertua Dewan mengambil inisiatif utama ini demi menjamin keutuhan Parlimen sebagai institusi tertinggi negara sentiasa terpelihara dan beberapa perincian lain akan diumumkan kemudian setelah Jawatankuasa Teknikal selesai berurusan,” jelas mereka. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan