24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Boikot sawit: KPPK sambut baik keputusan DSB WTO

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyambut baik keputusan Mesyuarat Badan Penyelesaian Pertikaian (DSB) di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang bersidang pada 28 Mei 2021.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, DSB dalam mesyuaratnya telah bersetuju dengan permohonan kali kedua Malaysia untuk menubuhkan panel bagi meneliti langkah yang diambil oleh Kesatuan Eropah (EU) dalam pelaksanaan Delegated Regulation di bawah European Union Renewable Energy Directive 2018/2001 (EU RED II).

Menurut beliau, terdahulu, permohonan pertama bagi penubuhan panel ini telah dibincangkan dalam Mesyuarat DSB pada 28 April 2021 namun, permohonan tersebut tidak dipersetujui oleh EU yang tetap dengan pendirian bahawa tindakan mereka adalah berasas dan selaras dengan perundangan WTO.

“Permohonan penubuhan panel oleh Malaysia adalah selaras dengan peraturan dan prosedur yang telah digariskan di bawah WTO.

“Permohonan ini diambil berikutan tiadanya penyelesaian dicapai dalam konsultasi yang telah diadakan bersama EU pada 17 Mac 2021 lalu,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan KPPK, hari ini.

Mohd Khairuddin memberitahu, Malaysia akan terus komited dalam meneruskan tindakan undang-undang terhadap EU selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 Julai 2020 dan pemfailan kes yang dibuat pada 15 Januari 2021.

Beliau menambah, sebagai negara pengeluar kedua terbesar minyak sawit dunia, Malaysia kesal dengan langkah EU dalam memberi layanan kepada minyak sawit berbanding minyak sayuran lain.

“Tindakan ini adalah perlu dalam melindungi kepentingan industri sawit negara yang telah memberikan sumbangan signifikan kepada pembangunan sosioekonomi negara khususnya kepada pekebun kecil sawit,” jelasnya.

Advertisements

Mohd Khairuddin berkata, Malaysia melalui KPPK dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan melaksanakan persediaan yang sewajarnya dalam proses ini demi mempertahankan industri sawit negara.

Dalam kenyataan media pada 26 Mei lalu, Mohd Khairuddin berkata, Malaysia sebagai salah sebuah negara pengasas dan anggota Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) menyokong sepenuhnya tindakan badan itu mengemukakan bantahan kepada Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croomelalui surat bertarikh 24 Mei 2021 berhubung isu pengharaman penggunaan minyak sawit sebagai biobahan api di negara itu dalam tempoh terdekat.

Malaysia turut menyatakan tindakan negara tersebut adalah susulan daripada pelaksanaan perundangan EU RED II yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Eropah selepas tindakan yang sama dibuat oleh Perancis dan Lithuania.

Menurut beliau, sebagai pengeluar kedua terbesar minyak sawit dunia, Malaysia amat kecewa dengan tindakan yang dilaksanakan tanpa mengambil kira kesungguhan dan usaha negara ini dalam memastikan industri sawit dilaksanakan dengan mampan.

“Langkah Belgium jelas bercanggah dengan prinsip amalan perdagangan bebas yang digariskan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan merupakan satu bentuk diskriminasi terhadap produk sawit Malaysia.

“Walaupun jumlah eksport biobahan api berasaskan sawit tempatan ke Belgium adalah kecil, namun tindakan ini boleh mempengaruhi negara lain dan seterusnya memberikan imej negatif terhadap industri sawit negara.

“Dalam hal ini, Malaysia menyeru agar Belgium dan Kesatuan Eropah (EU) serta negara anggotanya melihat kesan sekatan ini dengan lebih objektif,” katanya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan