29.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Syarikat sarung tangan getah, perabot diingatkan patuhi Akta 446

Mesti Baca

PUTRAJAYA – Kerajaan mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam sektor perladangan dan industri komoditi terutamanya syarikat sarung tangan getah dan perabot agar sentiasa patuh kepada undang-undang termasuk yang berkaitan Akta 446 bagi memastikan kebajikan pekerja sentiasa dititikberatkan.

MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pihaknya memandang serius terhadap pelanggaran Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) melibatkan kemudahan kediaman bagi pekerja asing oleh beberapa syarikat sarung tangan getah dan perabot yang didapati tidak mematuhi peraturan seperti ditetapkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

Menurutnya, pematuhan terhadap akta berkenaan juga adalah amat kritikal bagi sektor perladangan dan industri komoditi bertujuan memberi keyakinan kepada pihak antarabangsa bahawa Kerajaan Malaysia adalah serius dalam usaha menangani isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak yang didakwa berlaku di negara ini.

“Dalam hal ini, KPPK ingin memberi peringatan kepada semua pihak yang terlibat dalam sektor perladangan dan industri komoditi agar sentiasa patuh kepada undang-undang termasuk yang berkaitan Akta 446 bagi memastikan kebajikan pekerja sentiasa dititikberatkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Khairuddin berkata, Akta 446 itu bertujuan untuk menambah baik Garis Panduan Penginapan Pekerja Asing 2018.
Ujar beliau, ia meliputi standard ruang minimum kediaman, kemudahan asas bagi rumah dan pekerja selain elemen keselamatan serta kebersihan yang perlu diberi perhatian oleh pihak majikan.

“KPPK dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan akan terus menyokong serta membantu sektor perladangan dan industri komoditi dalam mengamalkan sistem perburuhan yang baik,” katanya.

Advertisements

Awal bulan ini, JTKSM dilapor akan mengambil tindakan mahkamah terhadap pengeluar sarung tangan Top Glove dan beberapa syarikat lain, yang didapati melanggar peruntukan terhadap Akta Standard Minima Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) membabitkan penyediaan perumahan kepada pekerja masing-masing.

Ketua Pengarahnya, Asri Ab Rahman berkata, syarikat terbabit berdepan sebanyak 63 pertuduhan daripada 21 kertas siasatan sudah dibuka sejak akta itu dikuatkuasa September lalu bagi menyiasat ketidakpatuhan yang meliputi pelbagai subsektor ekonomi.

Beliau berkata, sebanyak 19 kertas siasatan dibuka membabitkan enam kumpulan syarikat Top Glove dan pihaknya akan mengambil tindakan lanjut merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“JTKSM akan melaksanakan pendakwaan di mahkamah. Selain itu tindakan denda dan kompaun juga akan dikenakan terhadap majikan yang ingkar.

“Kita sudah pergi ke semua kilang membabitkan kluster (penularan Covid-19 di) Top Glove dan lihat penginapan. Antara yang disiasat ini dan akan didakwa termasuk syarikat yang dinyatakan tadi,” katanya.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan