29.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Pengagihan kerusi: Kenyataan Asyraf Wajdi ‘isyarat’ untuk Bersatu?

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Pada 14 Disember lalu, Tan Sri Annuar Musa berkata, UMNO telah mengadakan rundingan bersama Pas berhubung pengagihan kerusi.

Menurut Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu, dalam dua rundingan yang telah dijalankan, mereka mencapai kira-kira 60 peratus hingga 70 peratus persefahaman.

Hari ini Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO tidak akan berunding secara terus dengan Pas berhubung perkara itu untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebaliknya akan menggunakan platform Perikatan Nasional (PN) untuk berbuat demikian.

Katanya, kerjasama UMNO dan BN dengan PN untuk PRU-15 nanti banyak bergantung kepada soal persefahaman dalam pengagihan kerusi.

‘’Ini bermakna pengagihan kerusi tidak lagi berasaskan perbincangan UMNO dengan Pas tetapi BN dengan PN kerana Pas sudah secara rasmi menyertai PN sebagai komponennya,’’ katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam Facebook hari ini.

Selain itu, Annuar pada 14 Disember lalu turut menyatakan, kedua-dua parti bersetuju 55 kerusi yang dimenangi oleh UMNO tidak akan ditandingi Pas dan 18 kerusi dimenangi Pas tidak akan ditandingi UMNO.

Pemerhati politik melihat kenyataan Asyraf Wajdi sebagai ‘isyarat’ bahawa UMNO tidak akan menyerahkan kerusi yang mereka menangi dalam PRU-14 lalu kepada Bersatu.

‘’Kecuali Pagoh, kerusi-kerusi lain yang dimenangi UMNO tetapi dikuasai oleh Bersatu, apabila ahli Parlimennya ‘melompat parti’ saya fikir akan tetap dipertahankan oleh UMNO,’’ kata seorang pemerhati politik ketika dihubungi.

Selain itu, satu sumber memberitahu, di peringkat akar umbi sememangnya ada sentimen yang tidak begitu bersetuju jika UMNO berkompromi dengan Bersatu.

‘’Ini diakui oleh Annuar dalam kenyataannya sebelum ini. Sentimen itu wujud kerana ahli-ahli UMNO dan Pas tidak melihat Bersatu mempunyai kekuatan di peringkat akar umbi,’’ kata sumber berkenaan.

Advertisements

Untuk rekod Annuar turut berkata, UMNO parti yang terbuka menerima dan mendengar pandangan semua pihak.

Namun akhirnya kata beliau, semuanya bergantung kepada keputusan rasmi parti bukannya pandangan presiden atau pengerusi parti.

“UMNO ada 119 bahagian sudah pasti ada yang tidak gembira dengan Bersatu begitu juga dengan Pas, begitu juga ada orang Pas dan Bersatu tidak setuju dengan kita, itu normal.

”UMNO dan kepimpinan BN serta PN kini lebih kerap berhubung dan saya percaya kerjasama antara kami kini lebih utuh,’’ katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Asyraf Wajdi turut menegaskan, Majlis Tertinggi UMNO dan Dewan Tertinggi BN telah membuat keputusan yang jelas bahawa mereka mendokong Kerajaan PN sehingga PRU-15 dan tidak sesekali bersetuju untuk menyertai PN sebagai salah satu parti komponen.

‘’Setakat ini parti PN hanya dianggotai PPBM, Pas, STAR dan SAPP. Manakala Kerajaan PN adalah sebuah kerajaan yang ditubuhkan atas persefahaman 12 parti politik termasuk UMNO dan 3 parti komponen BN iaitu MCA, MIC dan PBRS; Gabungan Parti-Parti Sarawak (GPS) dan Parti Perikatan Nasional (PPBM, Pas, STAR dan SAPP),’’ katanya.

Beliau berkata, Majlis Presiden Kerajaan PN sememangnya dicadangkan sejak dari awal oleh UMNO ketika pembentukan Kerajaan PN pada Mac lalu, tetapi hanya dilaksanakan sekarang.

‘’Tujuannya untuk memastikan apa jua dasar-dasar penting Negara dibincangkan terlebih dahulu dengan rakan-rakan kongsi yang terdiri daripada parti-parti politik yang bersepakat membentuk Kerajaan ini.

‘’Majlis Presiden Kerajaan PN mampu mengelakkan perbezaan dan pertelingkahan pandangan terhadap dasar-dasar penting yang diperkenalkan kerajaan seperti inisiatif kerajaan mahukan pengisytiharan Darurat yang tidak dirujuk kepada UMNO hingga mencetuskan pergeseran dalam kalangan parti-parti dalam Kerajaan PN,’’ katanya.

Beliau berkata, Majlis Presiden Kerajaan PN boleh dijadikan platform untuk Presiden parti-parti yang mendokong Kerajaan PN menyuarakan pendirian parti secara rasmi untuk diambil kira dan diambil tindakan oleh Kerajaan PN. Sebagai contoh, pendirian UMNO dan BN membawa suara rakyat dalam isu KWSP dan moratorium.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan