26 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

Rasuah: Ku Nan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan, denda RM2 juta

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas didapati bersalah menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan selepas mendapati Tengku Adnan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan terhadap kes pendakwaan.

Hakim turut memerintahkan tertuduh yang juga Ahli Parlimen Putrajaya menjalani tambahan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Bagaimanapun, peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan memohon penangguhan hukuman penjara sementara menunggu rayuan.

Mahkamah kemudian membenarkan penangguhan hukuman penjara dan denda terhadap tertuduh.

Terdahulu, Tengku Adnan didapati bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan empat tahun lalu.

Memetik Bernama, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kesnya melangkaui keraguan munasabah terhadap Tengku Adnan, yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-70 semalam.

Tengku Adnan, atau lebih dikenali sebagai Ku Nan, didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan Tan Sri Chai Kin Kong yang juga Pengarah AKSB melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Ahli Parlimen Putrajaya itu didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016.

Tengku Adnan dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Mohamed Zaini berkata tiada keterangan yang menunjukkan bahawa tertuduh mengeluarkan wang RM2 juta daripada akaun Tadmansori untuk perbelanjaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak.

“Tidak diragukan lagi bahawa RM2 juta tetap ada di dalam akaun Tadmansori untuk kepentingan tertuduh dan tidak membayar perbelanjaan dua pilihan raya kecil itu. Dia telah menggunakan Tadmansori sebagai pelindung kepada perbuatan jenayahnya,” kata hakim.

Mohamed Zaini berkata tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Saya dapati tertuduh bersalah dan mensabitkan bersalah atas pertuduhan berkenaan,” kata hakim yang mula membaca penghakimannya pada 9.38 pagi.

Mahkamah berehat selama 45 minit bagi membolehkan pendakwaan dan pembelaan menyediakan hujah sebelum hakim menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim manakala peguam Datuk Tan Hock Chuan mengetuai pasukan pembelaan.

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan