KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meminta Bank Negara Malaysia dan bank-bank mengkaji semula keputusan untuk tidak melanjutkan tempoh moratorium bagi peminjam.
Katanya, ia kerana beliau amat bimbang banyak syarikat dan peminjam bank tidak mampu membayar ansuran bulanan bila moratorium tamat sehingga terpaksa diisytiharkan muflis.
‘’Kita perlu sedar bahawa sebab utama bank-bank mahu bayaran ansuran disambung semula ialah supaya mereka ingin pokok atau bayaran prinsipal pinjaman dibayar agar mereka ada dana untuk menyediakan pinjaman semula kepada pelanggan baru.
‘’Sebaliknya, jika permintaan untuk pinjaman baru juga telah menjunam, maka tiada keperluan untuk bank memaksa pelanggan mereka membayar semula pokok atau prinsipal pinjaman,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, di Dewan Rakyat.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, jika bank tidak mampu melanjutkan lagi moratorium untuk bayaran ansuran bagi kedua-dua pokok dan faedah pinjaman, mereka perlu mempertimbangkan memberi tempoh di mana peminjam hanya perlu membayar ansuran bulanan bagi bahagian faedah sahaja dan tidak melibatkan jumlah prinsipal.
‘’Dalam hal ini, kerajaan perlu lebih bertegas dan tidak tunduk kepada kemahuan bank-bank sahaja. Kerajaan dan tabung-tabung amanah berkait kerajaan adalah antara pemegang saham terbesar bank-bank di Malaysia manakala seluruh industri bank adalah bawah kawalan kerajaan,’’ katanya.
Beliau berkata, apa yang perlu difahami kerajaan sememangnya mempunyai kuasa yang besar ke atas bank-bank dalam Malaysia – baik dari segi pemilikan saham, suntikan dana kos rendah, garis panduan bank atau undang-undang berkaitan.
‘’Sejak sekian lama bank mencatat keuntungan besar berbilion-bilion setiap tahun. Sebagai contoh jika selama ini sebuah bank biasanya membuat keuntungan sebanyak RM5 billion, tetapi tahun ini hanya mendapat RM1 bilion-RM2bilion sahaja, ia tidak akan melumpuhkan sistem kewangan negara.
‘’Jadi, inilah masa bank-bank perlu berkorban supaya pelanggan-pelanggan mereka tidak terjejas dan masih mampu untuk mengembalikan keuntungan berbilion-bilion kepada bank pada masa depan apabila krisis Covid berakhir,’’ katanya.
Najib berkata, kita juga perlu menerima realiti bahawa semua bidang perniagaan tidak menerima impak sama rata dari krisis Covid.
‘’Realitinya ialah sektor-sektor tertentu tidak akan pulih sepenuhnya seperti dahulu atau memerlukan masa beberapa tahun untuk pulih,’’ katanya. – Edisi 9