25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Keputusan mesyuarat Parlimen tidak boleh dicabar di mahkamah

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Keputusan mesyuarat atau persidangan yang diputuskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara tidak boleh dipertikaikan di mahkamah mengikut Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, ada peruntukan di bawah perkara itu yang menyebut bahawa kalau ucapan dalam Parlimen mengandungi unsur hasutan, Ahli Parlimen boleh dituduh di bawah Akta Hasutan (1948).

Memetik laporan Berita Harian, Pensyarah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, hanya perkara itu sahaja diberi pengecualian yang mana mahkamah boleh campur tangan dalam hal berkaitan Parlimen.

“Oleh itu bagi urusan selain daripada yang berkaitan hasutan, penelitian Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan menunjukkan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mempersoalkan apa yang berlaku dalam Parlimen,” katanya hari ini.

Beliau mengulas tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat Ahli Parlimen lain yang mengemukakan saman pemula di mahkamah bagi mencabar pelantikan Datuk Azhar Azizan Harun dan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Melalui saman pemula itu, mereka menuntut pengisytiharan pelantikan Azhar dan Azalina sebagai Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 13 Julai 2020 adalah tidak sah, tidak menepati serta bercanggah dengan Perlembagaan atau Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan.

Selain Dr Mahathir, turut memfailkan saman pemula itu ialah Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Shahruddin Md Salleh.

Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal berkata, apa yang berlaku ketika ini adalah Dr Mahathir dan dan empat Ahli Parlimen lain mengemukakan satu saman pemula yang mana mahkamah sudah memberi satu tarikh untuk mendengar saman itu.

Advertisements

“Di situ, mahkamah tidaklah boleh menolak saman itu dan mahkamah perlu membuat keputusan. Cuma apa yang boleh kita simpulkan, mahkamah akan membuat keputusan mengikut peruntukan Perkara 63.

“Ini terpulang pada budi bicara mahkamah untuk memberi tafsiran Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan dan membuat keputusan sama ada mahkamah boleh campur tangan atau tidak mengenai keputusan dibuat Parlimen seperti pertukaran Speaker dan sebagainya,” katanya.

Menyentuh tanggungjawab Azhar dan Azalina untuk meneruskan tugas mempengerusikan mesyuarat Dewan Rakyat, beliau berkata tugas mereka tidak akan terganggu.

“Jadi sidang Parlimen boleh terus dijalankan dan tidak boleh diganggu oleh mahkamah. Ada amalan di United Kingdom tidak boleh, apa juga perintah mahkamah dikemukakan untuk mengganggu gugat sidang Parlimen,” katanya.

Menyentuh aspek pengasingan kuasa, Nik Ahmad Kamal berkata, isu pengasingan kuasa antara badan eksekutif, legislatif dan mahkamah adalah teras penting dalam kerajaan.

“Pengasingan kuasa akan memastikan tiga organ utama ini tidak mencampuri urusan masing-masing. Cuma, prinsip konsep pengasingan kuasa perlu dilihat dalam konteks bahawa perlu ada semak dan imbang antara ketiga-tiganya.

“Dalam konteks ini, mungkin mahkamah dianggap sebagai institusi semak dan imbang yang adil. Maka mahkamah digunakan sebagai satu wadah untuk memastikan Parlimen menjalankan kuasa mengikut bidang kuasa mereka. Itu jika kita melihat secara keseluruhan,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan