30.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Rauf angkat sumpah Ketua Menteri Melaka ke-13

Mesti Baca

Fitri Hazam
Fitri Hazam
Wartawan Edisi 9

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Ab Rauf Yusoh mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Melaka ke-13.

Rauf yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Mohd Ali Rustam pada pukul 3:30 petang di Dewan Utama, Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT), hari ini.

Beliau menggantikan ADUN Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang meletak jawatan pada Rabu lalu.

Perlantikan itu menamatkan desas-desus berlakunya pergolakan politik negeri sebelum ini.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan beliau telah menerima surat perletakan jawatan Sulaiman atas faktor kesihatan.

Landskap politik negeri Melaka menjadi tumpuan sejak Langkah Sheraton pada Februari 2020 yang membawa kerajaan negeri pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Adly Zahari tumbang dan kepimpinan negeri beralih ke Sulaiman Ali di bawah blok Perikatan Nasional.

Advertisements

Situasi politik Melaka kembali hangat, apabila empat ADUN menarik sokongan terhadap Sulaiman memaksa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan pada 21 November 2021.

Sulaiman yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, berjaya kembali ke jawatan Ketua Menteri setelah membawa BN menang dua pertiga majoriti dengan menguasai 21 daripada 28 kerusi DUN.

Rauf mengetuai portfolio Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri di bawah pentadbiran diketuai Sulaiman selepas kemenangan PRN.

Perkembangan politik negeri itu kembali diperkatakan susulan dakwaan Sulaiman dipaksa meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Rauf mengambil alih jawatan ketua menteri.

Dakwaan tersebut dinafikan Sulaiman yang telah meletak jawatan pada 29 Mac lalu. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kasino di Forest City: Chegu Bard ditahan reman dua hari

BADRUL Hisham Shaharin atau Chegu Bard direman susulan membuat hantaran yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan...

Lagi Artikel Berkaitan