26.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

WHO kenal pasti tolak vaksin satu ancaman kesihatan global

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengenalpasti penolakan vaksin sebagai salah satu ancaman kesihatan global.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkongsikan maklumat berkenaan dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

“Bersempena minggu imunisasi kebangsaan ini, bersama kita meningkatkan kefahaman kita mengenai program imunisasi kebangsaan yang diberikan secara percuma di Malaysia sejak tahun 1950-an.

“Mana–mana pihak yang mempunyai kemusykilan mengenai vaksin dan imunisasi dinasihatkan agar mendapatkan fakta yang tepat daripada laman sesawang www.myhealth.gov.my, www.infosihat.gov.my, www.immunise4life.my,” kongsinya.

Menurut hantaran itu lagi, ibu bapa juga boleh hadir ke mana–mana fasiliti kesihatan untuk berjumpa dengan anggota kesihatan bagi mendapatkan maklumat berkaitan vaksin serta imunisasi bayi dan kanak-kanak.

“Lindung Diri Lindung Semua,” kongsinya.

Minggu imunisasi kebangsaan akan disambut selama seminggu bermula 24 hingga 30 April 2022, negara dan seluruh dunia akan menyambut Minggu Imunisasi Sedunia.

Di bawah WHO sambutan ini akan diadakan pada setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran berkaitan faedah imunisasi dan mempromosikan vaksinasi.

Menurut carian umum kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, Imunisasi bermaksud perihal atau perbuatan mendapatkan atau memberikan perlindungan daripada penyakit menerusi suntikan manakala vaksinasi bermaksud proses penyuntikan vaksin ke dalam tubuh seseorang sebagai langkah perlindungan mencegah sesuatu penyakit.

Menurut maklumat yang dikongsikan Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Azrul Hafiz Abdul Aziz dan Pegawai Perubatan KKM, Dr Rahimah Mohd Sahudi @ Sahud seperti disiarkan Malaysia Gazette, sejarah imunisasi negara bermula seawal tahun 1950-an apabila Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (NIP) diperkenalkan dengan tujuan untuk mengurangkan penyakit tuberculosis (batuk kering), Hepatitis B, difteria, pertussis (batuk kokol), mumps (beguk), human papilloma virus (HPV), demam campak (measles), rubella, tetanus dan polio.

Advertisements

“Hasilnya kadar jangkitan penyakit Difteria dan Tetanus turun dengan drastik. Begitu juga dengan penyakit Cacar (small pox).

“Setelah program vaksinasi cacar dilakukan secara menyeluruh, negara telah berjaya diisytiharkan sebagai bebas dari cacar pada tahun 1980.

“Seawal tahun 1989, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke 24 telah memutuskan bahawa Program Imunisasi Campak, Tibi, Batuk Kokol, Difteria, Tetanus dan Polio adalah harus dari segi syarak kerana berdasarkan kaedah “menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan’’ dalam hukum Islam.

Menurut dua doktor berkenaan, pemeliharaan kesihatan ini juga adalah bertepatan dengan Maqasid Syariah iaitu memelihara nyawa( hifz an-nafs), memelihara agama (hifz ad-din), memelihara akal (hifz al-aql), memelihara keturunan (hifz an-nas) dan memelihara harta benda (hifz al-mal).

“Orang ramai tidak perlu gusar untuk menerima sebarang vaksin. Ini kerana vaksin seperti ubat-ubatan yang lain perlu menjalani ujian rapi untuk memastikan ianya selamat sebelum diberikan kepada manusia.

“Di Malaysia, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) akan menjalankan penyelidikan dan ujian dengan rapi sebelum meluluskan sesuatu vaksin dan ia perlu menepati kesemua tiga ciri utama iaitu selamat, berkesan dan stabil.

Menurutnya, kebaikan imunisasi dan vaksinasi adalah amat jelas dimana melalui kaedah imuniti berkelompok (herd imuniti), penyakit yang berjangkit dan merbahaya boleh dikawal dan dihapuskan.

“Ini sekali gus melindungi golongan yang berisiko tinggi seperti bayi, warga emas, kanak-kanak dan individu imunokompromi.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan