BENTONG – Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tuanku Fatimah (SKTF) Bentong, Pahang, Abd Rahman Datuk Abd Aziz hari ini menerima kejutan seolah-olah berlakon dalam filem Mission Impossible apabila diraikan oleh guru-guru dan kakitangan sekolah itu dengan menaiki helikopter pada majlis persaraan, hari ini.
Dalam ucapannya, Abd Rahman, 60, berkata beliau terharu menerima kejutan tersebut dan menzahirkan ucapan penghargaan tidak terhingga kepada seluruh kakitangan sekolah tersebut, termasuk guru-guru yang menguruskan hadiah penuh bermakna tersebut.
“Pengalaman ini (menaiki helikopter) sesuatu yang berharga dan menyentuh perasaan.
“Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih di atas sokongan sepanjang 20 tahun saya berkhidmat di sini iaitu sejak 2005 apabila saya dilantik sebagai guru besar. Saya juga kagum kerana warga SKTF begitu komited dan berani menyahut apa jua cabaran yang mendatang,” katanya kepada Edisi 9.
Majlis anjuran jawatankuasa khas persaraan SKTF yang bertemakan Mission Impossible: Sanjungan Budi Lambaian Kasih itu diadakan di padang sekolah berkenaan dengan kehadiran 48 orang guru dan lima kakitangan sekolah. Turut serta pegawai-pegawai pelajaran daerah (PPD) Bentong.
Walaupun sesi persekolahan belum dibuka akibat pandemik Covid- 19, namun majlis meraikan Abd Rahman tetap meriah dengan mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang mana penjarakan sosial diutamakan.
Antara pencapaian paling manis ketika berkhidmat sebagai warga pendidik sejak 1984, Abd Rahman memberitahu, beliau berjaya merealisasikan impian menjadikan SKTF diktiraf sebagai salah sebuah sekolah kluster kerajaan pada tahun 2014.
“Visi dan Misi SKTF telah saya capai dengan bantuan guru-guru di sini apabila sekolah ini di diktiraf sebagai sekolah kluster dan pencapaian terbaik pada 2014.
“Harapan saya semoga SKTF dan warga kerjanya tetap memelihara dan menjadikan ia sebagai satu penanda aras kejayaan bersama. Diharap pengganti saya, iaitu Zaleha Othman akan meneruskan legasi kepimpinan yang cemerlang untuk SKTF umumnya, ” katanya.
Sebak mengakhiri ucapan beliau Abd Rahman mengingatkan agar warga SKTF sentiasa mementingkan kejayaan dan bersama-sama mengharungi apa sahaja cabaran secara bersama. – Edisi 9