26.1 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

UMNO beri tempoh 14 hari untuk kerajaan buka sidang Parlimen

Mesti Baca

CYBERJAYA – UMNO memberi tempoh 14 hari kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) membuka sidang Parlimen.

Jika gagal berbuat demikian, Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi parti itu akan memuktamadkan tindakan selanjutnya

Demikian ditegaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Biro Politik parti malam tadi.

Zahid berkata, UMNO berpendirian tegas untuk mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah agar memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kenyataan ini.

“Kegagalan kerajaan melaksanakan titah tersebut dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati Institusi Raja-Raja Pemerintah.

“Sebagai sebuah parti yang diasaskan atas tujuan memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO, satu Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya,” kata Zahid dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Walaupun tidak dinyatakan namun dipercayai tindakan tersebut dengan menarik balik sokongan parti terhadap kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin termasuk mendesak Menteri Kabinet dari parti itu melepaskan jawatan.

Advertisements

Minggu lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi  membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Sementara Raja-raja Melayu dalam kenyataan berasingan berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara cabang eksekutif, cabang legislatif dan cabang kehakiman untuk menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab kepada rakyat terutama dalam hal-ehwal kewangan dan perbelanjaan negara. 

Dalam semangat tersebut Raja-raja Melayu menyokong dan senada dengan pendirian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang. 

Zahid berkata, UMNO menyokong penuh kedua-dua kenyataan media Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang menzahirkan pendirian Seri Paduka dan Raja-Raja Pemerintah yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.

“Sebagaimana yang telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, UMNO berpendirian Parlimen amat mustahak untuk diadakan bagi segera membawa pelbagai tuntutan dan harapan rakyat yang sedang kesempitan dalam mendepani Pandemik Covid-19 di samping memastikan wujud akauntabiliti dalam urusan pentadbiran kerajaan.

“Justeru, tidak perlulah berdolak-dalik lagi istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ yang digunakan di dalam kedua-dua kenyataan media perihal Sidang Parlimen, yang hakikatnya menzahirkan kesepakatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Pemerintah,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan