SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari ini.
Majlis angkat sumpah berlangsung di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail di Istana Bukit Serene, Johor Bahru yang turut perkenan atas pelantikan barisan Exco tersebut.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Exco Kerajaan Negeri itu menggabungkan pengalaman, kesinambungan dan tenaga baharu bagi memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri terus kukuh, cekap dan berkesan.
“Saya mengucapkan tahniah kepada semua yang telah diberikan amanah. Pelantikan ini adalah satu tanggungjawab besar untuk terus berkhidmat kepada Bangsa Johor,” katanya hari ini.
Daripada mereka yang dilantik, enam adalah Exco penggal lalu yang mengekalkan portfolio masing-masing.
Mereka ialah Datuk Mohd Jafni Md Shukor yang sebelum ini memegang portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Mohd Hairi Mad Shah (Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi) serta Mohd Fared Mohd Khalid (Hal Ehwal Agama Islam).
Turut dikekalkan ialah Mohamad Fazli Mohamad Salleh yang sebelum ini menerajui portfolio Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur, Lee Ting Han (Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia) serta Ling Tian Soon (Kesihatan dan Alam Sekitar) bagi meneruskan tanggungjawab dalam pentadbiran negeri.
Manakala empat wajah baharu ialah Empat muka baharu yang dilantik ialah ADUN Kukup, Md Israk Abdullah, Dr. Mohd Naqib Ghazali (Panti), Hasrunizah Hassan (Pulai Sebatang) dan P. Pannir Selvam (Perling).
Md. Israk dilantik memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, manakala Dr. Mohd Naqib memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan.
Sementara itu, Hasrunizah pula dilantik sebagai Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Pannir Selvam dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya.
Sementara itu, selain Khairin-Nisa Ismail (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri) yang tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 baru lalu, tiga Exco sebelum ini digugurkan.
Mereka ialah Datuk Zahari Sarip (Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri); Aznan Tamin (Exco Pendidikan dan Penerangan) dan K. Raven Kumar (Perpaduan, Warisan, dan Kebudayaan).
Dalam pada itu Onn Hafiz yang juga ADUN Machap memegang portfolio Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan, Pembangunan Ekonomi dan Pelancongan.
Dalam PRN Johor pada 11 Julai lalu, Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kemenangan dengan menguasai 48 daripada 56 kerusi DUN Johor manakala lapan kerusi lagi dimenangi calon-calon Pakatan Harapan (PH). — Edisi 9

