PENGERUSI RHB Bank Berhad, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang baharu.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Getah Malaysia menggantikan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang perkhidmatannya tamat bermula 30 Jun lalu.
FELDA dalam satu kenyataan berkata, pelantikan tersebut mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap kewibawaan, integriti dan pengalaman luas Ahmad Badri bin menerajui organisasi strategik serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
“Kepimpinan beliau diyakini mampu memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecemerlangan pengurusan dan meneruskan agenda transformasi FELDA selaras dengan aspirasi pembangunan negara yang mampan dan inklusif,” kata kenyataan itu hari ini.
Ahmad Badri mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam sektor awam dan korporat sejak menyertai perkhidmatan awam di Kementerian Kewangan pada tahun 1989.
Sepanjang perkhidmatan beliau, pelbagai jawatan strategik telah disandang sebelum dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia pada tahun 2018 hingga 2020.
Sebelum ini, beliau pernah dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan menjadi Ahli Lembaga Pengarah di beberapa institusi utama negara seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Kini beliau memegang jawatan sebagai Pengerusi RHB Bank Berhad dan Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), di samping menjadi Ahli Lembaga Pengarah Sime Darby Berhad.
Dari aspek akademik, Ahmad Badri memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada University of Hull, United Kingdom, serta Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM).
“FELDA yakin bahawa di bawah kepimpinan Ahmad Badri, organisasi akan terus memperkukuh agenda transformasi Kumpulan FELDA, meningkatkan kemampanan ekonomi dan mencipta nilai yang lebih besar kepada lebih 3 juta warga peneroka.
“Kepimpinan beliau diharapkan dapat membawa FELDA melakar pencapaian baharu demi memastikan kesejahteraan warga peneroka dan kemakmuran generasi masa depan terus terpelihara,” katanya. — Edisi 9

