Monday, July 6, 2026

Kyrgyzstan lancar Wilayah Pelaburan Kewangan Khas Tamchy

Mesti Baca

PRESIDEN Kyrgyzstan, Sadyr Japarov melancarkan Wilayah Pelaburan Kewangan Khas (SFIT) Tamchy, yang disifatkan sebagai langkah strategik untuk meletakkan negara itu sebagai hab kewangan antarabangsa baharu di rantau Eurasia.

Majlis pelancaran di pesisir Tasik Issyk-Kul itu turut menyaksikan beberapa syarikat dari Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Hong Kong, Switzerland dan Kazakhstan menjadi pemastautin pertama Tamchy SFIT, manakala 20 lagi syarikat antarabangsa sedang dalam proses mendapatkan status sama.

Pada majlis berkenaan, Japarov secara simbolik mengaktifkan suis berbentuk geotag sebagai tanda rasmi Tamchy SFIT memasuki peta kewangan global.

Menurut beliau, perubahan dalam ekonomi dunia menuntut kewujudan pusat kewangan baharu yang menawarkan kebebasan berinovasi serta jaminan kepada pelaburan jangka panjang.

“Tamchy SFIT merupakan projek nasional kami dan respons kami terhadap keperluan perniagaan antarabangsa. 

“Kami sedang membangunkan sebuah pusat kewangan dari asas yang dilengkapi dengan mahkamah yang bebas, badan pengawal selia moden, serta peraturan yang tidak akan berubah mengikut perubahan trend. 

“Saya yakin sepenuhnya bahawa Tamchy SFIT akan membuka lembaran baharu dalam sejarah Kyrgyzstan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur hari ini.

Tamchy SFIT beroperasi berasaskan prinsip undang-undang lazim Inggeris dengan memiliki badan kawal selia kewangannya sendiri, Pusat Penyelesaian Pertikaian Antarabangsa serta sistem pendaftaran digital sehenti.

Wilayah khas itu turut menawarkan pelbagai insentif termasuk pengecualian cukai keuntungan, dividen, keuntungan modal dan cukai nilai tambah (VAT) selama 49 tahun, selain membenarkan pemilikan asing sepenuhnya serta penghantaran balik keuntungan tanpa sebarang sekatan.

Meliputi kawasan seluas kira-kira 6,000 hektar, Tamchy SFIT kini mempunyai pusat perniagaan yang telah beroperasi, manakala pembangunan hotel dan kediaman sedang giat dijalankan. Kawasan itu juga terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Issyk-Kul.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Pertama Majlis Pengurusan Tamchy SFIT, Ali Ijaz Ahmad berkata, pusat kewangan berkenaan dibangunkan mengikut piawaian antarabangsa bagi memenuhi keperluan pelabur global.

Katanya, kedudukan strategik Tamchy di persimpangan lima ekonomi Kesatuan Ekonomi Eurasia serta koridor Eurasia menjadikannya sebuah bidang kuasa yang neutral, fleksibel dan sesuai untuk pertumbuhan jangka panjang.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif Serim, Seo Dong Hyun berkata, kepastian undang-undang dan keyakinan terhadap sistem kawal selia menjadi faktor utama beliau memilih Tamchy SFIT sebagai lokasi syarikat pemegangan keluarganya.

Beliau menyifatkan pelaksanaan projek itu dalam tempoh hanya setahun sebagai pencapaian luar biasa dan percaya pelaburan di Tamchy bukan sekadar untuk beberapa tahun, sebaliknya bagi manfaat generasi akan datang.

Menjelang 2035, Tamchy SFIT menyasarkan untuk menarik kira-kira 4,000 syarikat pemastautin, mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan serta menyumbang sekitar AS$20 bilion kepada ekonomi Kyrgyzstan bagi tempoh 2026 hingga 2035. — Edisi 9

Terkini

MAEF 2026 himpun seluruh ekosistem seni visual negara

PENGGIAT seni visual, pencinta seni dan orang ramai bakal disajikan dengan pelbagai pengisian menarik apabila Balai Seni Negara menganjurkan...

Lagi Artikel Berkaitan