Sunday, July 19, 2026

Diskaun 50 peratus tol sempena perayaan Aidilfitri – Anwar

Inisiatif tersebut berkuat kuasa mulai pukul 12.01 tengah malam pada Rabu, 18 Mac hingga pukul 11.59 malam Khamis, 19 Mac.

Mesti Baca

MESYUARAT Jemaah Menteri hari ini bersetuju untuk memberikan diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena perayaan Aidilfitri, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, pemberian diskaun tol tersebut sebagai salah satu ikhtiar yang dilaksanakan kerajaan bagi mengurangkan kos perjalanan pulang ke kampung halaman.

Menurut Perdana Menteri, inisiatif tersebut berkuat kuasa mulai pukul 12.01 tengah malam pada Rabu, 18 Mac hingga pukul 11.59 malam Khamis, 19 Mac.

Katanya, ia melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua lebuh raya kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia Singapura (Linkedua).

“Inisiatif ini melibatkan tanggungan kewangan berjumlah RM21.03 juta bagi tujuan pampasan kepada syarikat konsesi tol,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar berkata, Kerajaan Madani menerusi Jabatan Insolvensi Malaysia juga akan melaksanakan ikhtiar pelepasan kebankrapan secara Fast Track

Justeru kata beliau, bersempena Aidilfitri, sekitar 4,000 individu, khususnya ibu dan bapa tunggal akan dibebaskan daripada belenggu kebankrapan.

Sebelum itu,  Anwar berkata, kerajaan mengambil pendirian tegas untuk terus melindungi kebajikan rakyat, khususnya sepanjang Ramadan  dan persediaan menyambut Aidilfitri ketika ekonomi dunia terus berdepan ketidaktentuan.

Beliau berkata, beberapa langkah telah dilaksanakan untuk meringankan beban rakyat dan memastikan persiapan berjalan dengan baik.

Antaranya, pemberian cuti tambahan Aidilfitri, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan dari 14 hingga 28 Mac 2026 serta bayaran awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 pada 10 Mac lalu kepada 5.2 juta penerima melibatkan RM1.3 bilion

Selain itu, penyaluran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam, pesara dan veteran, termasuk sumbangan khas kepada lebih 70,000 imam, bilal, tok siak, noja, marbut serta guru KAFA dan takmir; peluasan subsidi tiket penerbangan FLYsiswa bernilai RM400 kepada pelbagai institusi pengajian tinggi serta pelaksanaan hampir 1,900 Program Jualan Rahmah MADANI sepanjang Ramadan bagi memastikan bekalan mencukupi dan harga berpatutan turut dilaksanakan.

Pada masa sama, larangan penjualan minyak masak paket bersubsidi kepada warga asing bagi memastikan subsidi hanya dinikmati rakyat Malaysia turut dijalankan bagi tujuan tersebut.

“Semua langkah ini adalah manifestasi nilai ihsan dan kemanusiaan yang menjadi teras Kerajaan Madani dalam memastikan rakyat terus menikmati manfaat daripada kemakmuran yang kita usahakan bersama.

“Pada masa sama, saya ingin mengulangi seruan agar rakyat terus berbelanja secara berhemah sepanjang meraikan Syawal. 

“Dalam keadaan ekonomi dunia yang masih tidak menentu, semua pihak perlu mengurus kewangan secara berdisiplin sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan pada masa hadapan,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Layan ‘final’ Piala Dunia dan Semarak Subuh bersama TPM

PASUKAN mana pilihan anda dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2026, awal pagi ini? Sepanyol atau Argentina? Para peminat bola sepak,...

Lagi Artikel Berkaitan