Friday, June 5, 2026

ASEAN kunci keamanan, kemakmuran serantau – Anwar

Keamanan tidak semestinya bererti ketiadaan konflik atau kemelut. Ia menuntut adanya keadilan, integriti serta prinsip hormat antara jiran tetangga

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kekuatan ASEAN sebagai sebuah rantau berpaksi pada semangat muafakat, budaya wacana yang segar serta keyakinan bersama yang menjadi asas kepada kemajuan dan kesejahteraan rakyat.

Menurut beliau, hanya dengan menjamin keamanan dan kestabilan serantau, ASEAN mampu membuka jalan ke arah pertumbuhan ekonomi lebih inklusif selain menjamin masa depan warga.

“Keamanan tidak semestinya bererti ketiadaan konflik atau kemelut. Ia menuntut adanya keadilan, integriti serta prinsip hormat antara jiran tetangga,” katanya menerusi media sosial beliau, malam tadi.

Sebelum itu Perdana Menteri merasmikan Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Negara (AMMTC) Ke-19 di Melaka. 

Anwar turut mengingatkan mengenai pentingnya ketelusan dan pertanggungjawaban dalam kalangan pemimpin serta institusi, sambil merujuk kata-kata pemikir Rom purba, Juvenal: Quis custodiet ipsos custodes atau siapa yang akan mengawasi para pengawal itu sendiri.

Jelasnya, dalam dunia yang semakin kompleks, prinsip ‘centrality’ ASEAN kekal menjadi kompas strategik, sama ada dalam kerjasama ekonomi Johor-Singapura mahupun usaha keamanan di sempadan Thailand-Kemboja.

“Malaysia bersama rakan-rakan ASEAN akan terus komited menjunjung visi dan aspirasi ASEAN Community 2045. Kita akan memperkukuh jaringan keselamatan, meningkatkan perkongsian risikan serta memastikan tiada negara atau masyarakat yang terpinggir.

“Inilah makna sebenar ASEAN yang aman, makmur dan berteraskan rakyat, iaitu ketumbukan yang mampu menzahirkan keadilan serta mencambah harapan,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan